Giroud kembali perkuat Les Blues

Oliver Giroud
Oliver Giroud
A
A
A

KETUA Jurulatih Perancis, Didier Deschamps mengumumkan penyerang AC Milan, Olivier Giroud bakal mengisi kekosongan yang ditinggalkan Karim Benzema yang tidak dapat menyertai pasukan akibat kecederaan.

Menurut Deschamps, tindakannya memanggil semula Giroud ke dalam pasukan bukanlah semata-mata kerana kecederaan yang dialami Benzema, sebaliknya bekas penyerang Arsenal dan Chelsea itu sudah berjaya membuktikan kemampuannya ketika beraksi bersama pasukan Perancis sebelum ini.

“Perkara paling penting bagi saya untuk memilih pemain, mereka itu haruslah mempamerkan aksi konsisten. Itu adalah kata-kata yang selalu saya ucapkan kepada pemain tidak kira sama ada dia Olivier (Giroud) atau orang lain.

"Olivier akan menyertai kami kerana dia adalah sebahagian daripada pasukan ini yang berjaya sebelum ini.

"Tetapi jangan tanya saya tentang masa depannya bersama pasukan ini. Sudah tentu, kehadirannya dikaitkan dengan kecederaan Karim, namun mereka perlu faham dia sebahagian daripada kami,” katanya.

Untuk rekod, kali terakhir Giroud beraksi bersama pasukan Les blues adalah ketika mereka tersingkir di tangan Switzerland pada kejohanan Euro 2020 pada Jun lalu.

Penyerang berusia 35 tahun itu kini hanya dibezakan lima gol di belakang Thierry Henry dalam carta penjaring sepanjang masa Perancis selepas berjaya menjaringkan 46 gol dalam 110 perlawanan.

Artikel Berkaitan: