Bekas Presiden, Ketua Eksekutif JCorp didakwa di mahkamah

Kamaruzzaman dibawa ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Selasa bagi menghadapi pertuduhan memperdaya Ahli Lembaga Pengarah Jcorp dengan pelaburan RM9.46 juta pada 2019.
Kamaruzzaman dibawa ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Selasa bagi menghadapi pertuduhan memperdaya Ahli Lembaga Pengarah Jcorp dengan pelaburan RM9.46 juta pada 2019.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Bekas Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation Bhd (JCorp), Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas dakwaan memperdaya Ahli-ahli Lembaga Pengarah (BOD) JCorp melibatkan pelaburan berjumlah RM9.46 juta pada 2019.

Kamaruzzaman, 58, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Wan Mohd Norisham Wan Yaakob.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Kamaruzzaman didakwa menipu dengan memperdaya BOD untuk melabur sebanyak AS$1 juta (RM4.21 juta) dalam World Logistic Council Limited, manakala sebanyak AS$1.25 juta (RM5.27 juta) pula dilaburkan dalam World Logistic Council Americas LLC.

Beliau didakwa membuat kesalahan itu melalui satu pembentangan untuk meluluskan penggunaan dana sementara JCorp berjumlah AS$5 juta (RM21.07 juta) untuk membuat pelaburan berkenaan.

Kamaruzzaman didakwa melakukan perbuatan itu di bilik mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah, Tingkat 25, Menara Komtar di sini pada 8 Julai 2019.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun dengan sebat dan denda.

Mahkamah kemudian membenarkan Kamaruzzaman dijamin sebanyak RM150,000 dengan seorang penjamin serta beberapa syarat tambahan iaitu pasport antarabangsa perlu diserah kepada mahkamah, perlu melapor diri ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebulan sekali dan tidak dibenarkan berkomunikasi dengan saksi pendakwaan.

Bagaimanapun peguam tertuduh, K Ragunath memohon agar mahkamah membenarkan pasport tertuduh diserah sebelum 23 April kerana Kamaruzzaman bakal menunaikan umrah pada 7 April ini sebelum pulang ke tanah air semula pada 18 April.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah membenarkan permohonan itu dan turut menetapkan tarikh 25 Mei untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan penyerahan senarai saksi pendakwaan.

Kamaruzzaman dilantik sebagai Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp pada Disember 2010 menggantikan Allahyarham Tan Sri Muhammad Ali Hashim sebelum bersara pada 12 Disember 2019.