KPDNHEP serbu premis jual barangan tiruan

Pegawai KPDNHEP Kuala Lumpur memeriksa barangan yang dijual di salah sebuah premis menerusi operasi pada Khamis.
Pegawai KPDNHEP Kuala Lumpur memeriksa barangan yang dijual di salah sebuah premis menerusi operasi pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Empat premis yang menjual barangan tiruan dan berselindung di sebalik perniagaan borong serta runcit diserbu penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Khamis lalu.

Serbuan di dua lokasi berasingan di ibu kota yang dilakukan bersama wakil pemilik cap dagangan turut menahan dua wanita termasuk seorang warga asing dipercayai pekerja di salah sebuah premis.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Kuala Lumpur, Nurul Syarina Md Anuar berkata, sebanyak 626 barangan tiruan termasuk pakaian, dompet dan beg berjumlah RM10,000 disita mengikut Akta Cap Dagangan 2019.

"Kedua-dua wanita itu juga ditahan untuk membantu siasatan di bawah akta sama," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Dalam pada itu, mengulas mengenai kes melibatkan harta intelek, setakat ini terdapat 23 kes melibatkan Akta Cap Dagangan 2019 dan Akta Hak Cipta 1987.

"Jumlah yang dicatatkan tersebut bermula sejak 1 Januari 2022 sehingga Ahad membabitkan 25,000 barangan dianggarkan bernilai RM870,000.

"Bagi tempoh sama juga, enam individu telah diberkas menerusi operasi yang dijalankan," katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak terpedaya membeli barangan tiruan.

Artikel Berkaitan:

"Jangan bersekongkol dengan pihak yang menjual barangan tiruan. KPDNHEP Kuala Lumpur akan sentiasa mempertingkatkan penguatkuasaan mengikut Akta Cap Dagangan 2019, Akta Perihal Dagangan 2011 dan Akta Hak Cipta 1987," katanya.