Lawatan ke Vietnam, eratkan hubungan dua hala

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (kiri) bersalaman dengan Nguyen Xuan Phuc ketika kunjungan hormat ke atas Presiden Vietnam di Istana Presiden, pada Isnin. - Foto Bernama
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (kiri) bersalaman dengan Nguyen Xuan Phuc ketika kunjungan hormat ke atas Presiden Vietnam di Istana Presiden, pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

HANOI - Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membuat kunjungan hormat ke atas Presiden Vietnam Nguyen Xuan Phuc di Istana Presiden di sini, petang Isnin.

Pada pertemuan lebih 40 minit itu, kedua-dua pihak masing-masing menzahirkan perhargaan atas hubungan baik yang terjalin selama ini dan Ismail Sabri turut mengundang Presiden Vietnam itu untuk berkunjung ke Malaysia bagi mengeratkan hubungan dua hala.

Beliau turut memuji layanan baik yang diberikan pihak Vietnam kepadanya dan seluruh delegasi Malaysia.

Senada dengan Ismail Sabri, Phuc juga berharap hubungan Kuala Lumpur-Hanoi bertambah erat selaras dengan sambutan Ulang Tahun Ke-50 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara pada tahun hadapan.

Selepas bertemu Phuc, Perdana Menteri bersama delegasi membuat kunjungan hormat ke atas Setiausaha Agung Parti Komunis Vietnam (CPV) Nguyen Phu Trong, di Ibu pejabat CPV.

Dalam pertemuan itu, Ismail Sabri berkata, beliau yakin lawatan sulungnya ke negara itu juga akan akan meningkatkan lagi hubungan kedua-dua negara.

Mengakhiri lawatan rasmi dua harinya ke Vietnam, Perdana Menteri membuat kunjungan hormat ke atas Pengerusi Dewan Rakyat Vuong Dinh Hue, di Bangunan Dewan Rakyat di sini.

"Sepanjang berada di Vietnam pihak kami mendapat layanan yang sangat baik dan mesra daripada Kerajaan Vietnam,” kata Ismail Sabri.

Artikel Berkaitan:

Hue pula berkata, Kerajaan Vietnam yakin lawatan Perdana Menteri akan terus mengeratkan hubungan kedua-dua negara.

Semasa ketiga-tiga pertemuan itu Ismail Sabri menggunakan sepenuhnya bahasa kebangsaan yang kemudiannya diterjemah ke dalam Bahasa Inggeris.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun dan pegawai-pegawai kanan.

Pagi tadi Perdana Menteri yang dalam rangka lawatan rasmi dua hari ke Vietnam, disambut dengan hamparan permaidani merah dan diberikan sambutan rasmi sebaik tiba di perkarangan Istana Presiden dan ketibaan beliau disambut oleh rakan sejawatnya dari Vietnam Pham Minh Chinh.

Kunjungan sulung Perdana Menteri ke Vietnam ini adalah atas undangan Chinh.

Ismail Sabri yang tiba pada Ahad dijadualkan berlepas pulang ke Kuala Lumpur pagi Selasa selepas mengadakan sidang akhbar dengan media Malaysia. - Bernama