Malaysia dapatkan sokongan LACAC untuk kekal sebagai Ahli Majlis ICAO

Wee Ka Siong
Wee Ka Siong
A
A
A

PUTRAJAYA - Malaysia akan mendapatkan sokongan negara anggota Suruhanjaya Penerbangan Awam Amerika Latin (LACAC) dalam usaha mengekalkan kerusi ahli majlis Pertubuhan Awam Antarabangsa (ICAO) di bawah Kategori III bagi penggal 2022-2025.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong Wee berkata, beliau kini berada di Montevideo, Uruguay bagi mengetuai delegasi Malaysia ke Perhimpunan Ke-24 LACAC yang bermula Rabu ini.

Selain menyampaikan ucapan pada perhimpunan itu, Wee berkata, beliau dan pegawai Kementerian Pengangkutan (MOT) akan menghadiri beberapa mesyuarat dan perbincangan dua hala mengenai isu berkaitan penerbangan antarabangsa serta peranan Malaysia dalam sektor tersebut.

"Malaysia sebagai hab penerbangan di rantau ini merupakan pemain yang berpengaruh dalam industri di peringkat global dan akan terus membentuk hubungan dua hala yang lebih kukuh dengan negara anggota LACAC," menurutnya dalam kenyataan pada Isnin.

LACAC ditubuhkan pada 1973 dan dianggotai 27 negara antaranya Argentina, Brazil, Costa Rica, Cuba, Guatemala, Panama, Jamaica, Mexico serta Venezuela.

Menurut Wee, beliau dan delegasi Malaysia juga akan bertemu rakan sejawatan dari Amerika Latin untuk meraih sokongan mereka untuk kerusi ICAO itu termasuk mengadakan perbincangan dua hala dengan Presiden ICAO Salvatore Sciacchitano dan Presiden LACAC Armando Daniel.

Malaysia berhasrat mengekalkan kerusi dalam Majlis ICAO untuk penggal keenam selepas mendudukinya pada tahun 2007.

Sesi pengundian bagi pencalonan kerusi itu akan berlangsung semasa Perhimpunan Agung Ke-41 ICAO pada 27 September hingga 14 Oktober 2022 di Ibu Pejabat ICAO di Montreal, Kanada.

Artikel Berkaitan:

"Kami akan mengesahkan semula komitmen Malaysia untuk terus menyokong inisiatif ICAO ke arah perkhidmatan penerbangan yang lebih selamat dan cekap di seluruh dunia," katanya.

Delegasi Malaysia ke Uruguay turut disertai Pengerusi Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman, Setiausaha Bahagian Udara MOT Mohamad Radzuan Mazlan dan Wakil Tetap Malaysia ke ICAO Flora Chin Lee Sa. - Bernama