Hong Wan, Sharul Nazeem, Hakimi tidak ke Singapura

Senarai akhir 25 pemain Harimau Malaya yang dibawa ke perlawanan FAS Tri-Nations Series 2022 di Singapura.
Senarai akhir 25 pemain Harimau Malaya yang dibawa ke perlawanan FAS Tri-Nations Series 2022 di Singapura.
A
A
A

HASRAT peminat bola sepak tanah air untuk melihat bekas pemain Wolverhampton Wanderers, Shio Hong Wan beraksi bersama skuad kebangsaan tidak kesampaian apabila namanya tidak disenaraikan dalam senarai 25 pemain skuad Harimau Malaya ke FAS Tri-Nations Series 2022 di Singapura.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam satu kenyataan memaklumkan, pertahanan muda Selangor, Sharul Nazeem Zulpakar dan pemain sayap Terengganu FC, Hakimi Abdullah turut tidak tersenarai dalam senarai akhir yang akan ke kota singa itu.

Terdahulu, daripada 30 pemain yang disenaraikan Pan Gon untuk kem latihan pusat kali ini, hanya pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Syahmi Safari tidak dapat melapor diri selepas beliau meminta pengecualian kerana menyambut kelahiran cahaya mata kembar tiga.

Tempat Syahmi itu telah digantikan oleh pemain pertahanan Negeri Sembilan FC, Ahmad Khuzaimi Piee dari senarai bersedia, sementara Dion Cools dan Liridon Krasniqi akan terus melapor diri di Singapura nanti.

Penyerang PJ City FC, Darren Lok pula telah hadir melapor diri pada 14 Mac namun terpaksa digugurkan selepas positif ujian RTK dan PCR, sekali gus tempatnya digantikan oleh seorang lagi pemain dari Senarai Bersedia iaitu Zhafri Yahya dari Kuala Lumpur City FC.

Ia diikuti dengan dua lagi pemain yang terpaksa digugurkan semasa kem latihan pusat berlangsung iaitu pemain tengah JDT, Nazmi Faiz Mansor yang mengalami kecederaan pangkal paha dan penjaga gol Terengganu FC, Rahadiazli Rahalim yang disahkan positif Covid-19.

Bagaimanapun Pan-gon memutuskan untuk tidak memanggil mana-mana pemain dari senarai bersedia untuk hadir sebagai pengganti.

Skuad Harimau Malaya dijadual berlepas ke Singapura pada Selasa untuk aksi menentang Filipina dan Singapura dalam perlawanan persahabatan Tier 1 pada Rabu dan Sabtu ini sebelum turun sekali lagi bertemu kelab negara itu, Albirex Niigata.

Artikel Berkaitan:

Tiga aksi persahabatan itu adalah sebagai persediaan buat Pan-gon dan anak buahnya menghadapi pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2023 di halaman sendiri Jun ini dan Malaysia yang diletakkan dalam Kumpulan E bersama Bahrain, Turkmenistan dan Bangladesh menyasarkan untuk layak ke peringkat seterusnya.