Malaysia deposit rafitikasi Protokol 29 ILO berhubung buruh paksa

M Saravanan
M Saravanan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia akan mendepositkan ratifikasi Protokol 29 Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), sebuah protokol kepada Konvensyen Buruh Paksa pada Isnin, sebagai sebahagian daripada langkah kerajaan menangani isu berkenaan dan menunjukkan komitmennya di peringkat antarabangsa.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan dalam kenyataan pada Isnin berkata, beliau yang dalam rangka lawatan kerja ke Geneva, Switzerland sejak semalam hingga esok, akan menyerahkan deposit itu kepada ILO selaras dengan keputusan Mesyuarat Kabinet pada 19 November lepas.

Menurut laman web ILO, sebaik sahaja diratifikasi, setiap ahli antara lain hendaklah mengambil langkah yang berkesan untuk mencegah dan menghapuskan penggunaannya (buruh paksa), memberikan perlindungan kepada mangsa, dan akses kepada remedi yang sesuai dan berkesan seperti pampasan, dan menyekat pelaku buruh paksa.

"Sepanjang lawatan kerja saya di Geneva, saya juga akan bertemu dengan Ketua Pengarah ILO dan Pengarah Serantau ILO untuk Asia dan Pasifik bagi membincangkan isu buruh serta perkongsian amalan baik yang telah dilaksanakan kerajaan,” kata Menteri Sumber Manusia itu.

Beliau berkata, beberapa amalan baik termasuk pelaksanaan Pelan Tindakan Kebangsaan mengenai Buruh Paksa, aplikasi mudah alih Working for Workers, penguatkuasaan Akta Pekerjaan 1955 dan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Majikan 1990 serta pelaksanaan eWages.

Saravanan berkata, beliau juga akan melakukan lawatan kerja ke London untuk meneroka peluang bagi kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang termasuk berkaitan Akta Perhambaan Moden 2015 UK yang menetapkan kewajipan majikan untuk menjalankan audit dan melaporkan insiden buruh paksa dalam rantaian bekalan mereka.

"Ini berguna untuk kerajaan mengkajinya kerana insiden buruh paksa juga telah berlaku dalam rantaian bekalan Malaysia kerana kekurangan mekanisme yang sesuai untuk menangani masalah itu," katanya.

Di London, Saravanan dijadualkan bertemu rakan sejawatannya, Setiausaha Negara bagi Kerja dan Pencen, Therese Coffey untuk membincangkan isu buruh dan pekerjaan, di samping perjumpaan dengan Wakil Migrasi dan Perhambaan Moden UK, Jennifer Townson untuk membincangkan isu berkaitan perlindungan pekerja, khususnya dalam eksploitasi buruh dan buruh paksa.

Artikel Berkaitan:

Saravanan juga akan bertemu dengan organisasi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di UK untuk berkongsi pandangan, amalan baik dan membincangkan isu kepentingan bersama selaras dengan objektif Kementerian untuk pendekatan TVET bersepadu dan komprehensif, terutama berkaitan bakat digital.

Beliau berkata, ini juga selaras dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, untuk mewujudkan 35 peratus pekerja mahir dalam tenaga kerja negara. - Bernama