Kecualikan gaji minimum untuk usahawan mikro

Noh ketika sidang media selepas Majlis Penyerahan Bantuan Banjir Keluarga Malaysia (BBKM) di Shah Alam Convention Center (SACC), di Shah Alam pada Isnin.
Noh ketika sidang media selepas Majlis Penyerahan Bantuan Banjir Keluarga Malaysia (BBKM) di Shah Alam Convention Center (SACC), di Shah Alam pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) meminta kerajaan Persekutuan untuk mengecualikan golongan usahawan mikro daripada pelaksanaan gaji minimum sebanyak RM1,500 pada Mei depan.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, hampir 43,000 usahawan tersebut terjejas semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu, malah hampir 70 peratus daripada jumlah tersebut terlibat dalam musibah banjir pada Disember lalu.

Menurutnya, pelaksanaan pembayaran gaji minimum tersebut akan menyukarkan pihak berkenaan untuk membayar gaji pekerja mereka memandangkan mereka baru ingin pulih daripada pelbagai musibah yang melanda perniagaan.

"Kita minta supaya kerajaan mengecualikan dahulu kumpulan usahawan mikro kerana mereka mempunyai pendapatan tahunan bawah RM300,000 dan mempunyai pekerja kurang daripada 55 orang.

"Tapi jika usahawan mikro turut perlu membayar gaji minimum sebanyak itu, adakah mereka mampu untuk bayar? Kalau kita lihat pendapatan mereka pun hanya sekadar cukup makan.

"Jadi Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta supaya Kementerian Sumber Manusia berbincang semula dengan KUSKOP untuk kita mencari jalan bagi mengecualikan golongan itu daripada diwajibkan untuk bayar gaji minimum tersebut kepada pekerja-pekerja mereka."

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Penyerahan Bantuan Banjir Keluarga Malaysia (BBKM) di Shah Alam Convention Center (SACC), di sini pada Isnin.

Pada Isnin, seramai 2,356 Sahabat Usahawan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) bagi Selangor dan Kuala Lumpur menerima geran khas BBKM berjumlah RM7.07 juta pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, geran yang diberikan secara 'one-off' bernilai RM3,000 setiap seorang tanpa perlu membayar balik itu disampaikan oleh Noh menerusi satu majlis penyerahan yang diadakan di SACC, di sini.

"Majlis penyerahan BBKM berkenaan diadakan secara serentak di empat lokasi iaitu di SACC, di sini oleh Noh; Dewan Puchong Utama, Puchong; Dewan UMNO Kuala Selangor, Kuala Selangor dan Dewan Sri Jugra, Banting.

"Untuk keseluruhan jumlah Sahabat Usahawan yang terjejas ialah seramai 8,859 usahawan melibatkan peruntukan yang akan disalurkan khusus untuk Sahabat AIM sahaja adalah sebanyak RM26 juta," katanya.