35 ekor kambing mati dalam kebakaran di Ipoh

Sebanyak 35 ekor kambing yang diternak dalam sebuah kandang mati akibat kebakaran tengah malam Ahad di Taman Temara Pasir Putih ketika tinjauan pada Isnin. - Foto Bernama
Sebanyak 35 ekor kambing yang diternak dalam sebuah kandang mati akibat kebakaran tengah malam Ahad di Taman Temara Pasir Putih ketika tinjauan pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Sebanyak 35 ekor kambing yang diternak dalam sebuah kandang di Taman Temara, Pasir Putih di sini mati akibat kebakaran tengah malam Ahad.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh Pegawai Bomba Kanan II, Rozaidee Kamarulzaman berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu kira-kira jam 12.30 tengah malam.

"Kebakaran membabitkan kandang kambing kelas C dan tiada individu terlibat.

"Terdapat 57 ekor kambing di dalam kandang itu dengan 35 daripadanya mati manakala bakinya berjaya diselamatkan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, kebakaran memusnahkan hampir 50 peratus kandang itu dan operasi pemadaman api tamat sepenuhnya pada jam 1.30 pagi.

Katanya, punca kebakaran dan jumlah kerugian sedang disiasat.

Sementara itu, penternak Kambing berkenaan, Badrishah Zamzuri, 60, yang juga pesara polis berkata, dia menyedari kejadian tersebut pada jam 11.45 malam selepas dimaklumkan jiran sekitar lalu bergegas ke kandang berkenaan kira-kira 10 meter dari rumahnya.

"Setiba di kandang, saya lihat lebih separuh ternakan saya mati. Kali terakhir saya menguruskan kambing ini petang semalam dengan memberi makan dan kemudian memasang unggun api sekitar jam 7 malam," katanya ketika di lokasi kejadian.

Badrishah turut tidak menolak kemungkinan kebakaran itu berpunca daripada unggun api yang dipasang di kandang terbabit kerana ternakan berkenaan memerlukan haba pada waktu malam.

Anak lelaki Badrishah, Muhammad Irham Badrishah, 21, pula menyifatkan kejadian itu sebagai suratan takdir sejak menternak kambing lapan tahun lalu dengan permulaan 10 ekor Kambing. - Bernama

Artikel Berkaitan: