KPM perinci maklumat guru bersara awal: Mohd Radzi

Mohd Radzi meninjau pengoperasian hari pertama sekolah di SK Syed Idrus, Kampung Kuang Hilir, Chemor, pada Isnin.
Mohd Radzi meninjau pengoperasian hari pertama sekolah di SK Syed Idrus, Kampung Kuang Hilir, Chemor, pada Isnin.
A
A
A

IPOH - Kadar guru bersara awal adalah hampir menyamai guru yang bersara wajib, kata Menteri Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin.

Beliau berkata, sehubungan itu Kementerian Pendidikan sedang memperincikan maklumat termasuk punca bersara awal bagi membolehkan perkara tersebut dilihat secara menyeluruh.

"Data-data ini kita perincikan satu persatu, bukan hanya melihat dari segi jumlah (permohonan), tetapi perkara lain seperti guru yang bagaimana, berapa lama dalam karier dan sebagainya.

"Guru yang membuat keputusan bersara awal ini sedang diperincikan untuk kita lihat dengan lebih menyeluruh," katanya dalam sidang akhbar selepas meninjau pengoperasian hari pertama sekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Syed Idrus, Kampung Kuang Hilir, Chemor di sini, pada Isnin.

Beliau berkata, pada ketika ini, terdapat pelbagai corak dan trend diperkatakan berhubung guru yang memohon untuk bersara awal.

"Oleh kerana itu, kita sedang susun data ini, apabila semuanya sudah jelas, kita akan kongsikan maklumat lanjut berkaitan hal ini," katanya.

Pada Februari lalu, media melaporkan kebimbangan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mengenai laporan berkaitan guru yang memohon bersara awal akibat pandemik Covid-19 di negeri tersebut.

Saarani turut menyeru guru-guru di Perak tidak mengambil keputusan meletak jawatan atau bersara awal disebabkan Covid-19 memandangkan guru merupakan ejen perubahan masyarakat.

Artikel Berkaitan:

Timbalan Menteri Pendidikan, Dr Mah Hang Soon dalam jawapan bertulis bagi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat tahun lepas menyatakan, terdapat beberapa alasan permohonan bersara awal dibuat antaranya tidak berminat meneruskan khidmat, faktor keluarga, kesihatan, beban tugas dan faktor peribadi.