Pengurus syarikat ditahan beri rasuah dapatkan tender

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Batu Pahat menahan seorang pengurus syarikat bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah bagi mendapatkan tender projek kerajaan pada tahun lalu.

Menurut sumber, wanita berusia 44 tahun itu ditahan sebaik hadir memberikan keterangan kira-kira jam 6.00 petang di Pejabat SPRM Negeri Johor di sini, pada Ahad.

“SPRM menahan seorang wanita bagi membantu siasatan berhubung kes memberi suapan untuk mendapatkan tender projek kerajaan pada tahun 2021.

“Siasatan awal juga mendapati, syarikat wanita itu yang memiliki lesen kelas Gred G3 telah memberi rasuah untuk mendapatkan kerja-kerja di bawah Gred G2,” katanya ketika dihubungi di sini, pada Ahad.

Beliau berkata, SPRM juga kini sedang membuat siasatan lanjut berhubung jumlah suapan yang terlibat dalam kes berkenaan.

Katanya, wanita tersebut juga tidak diarahkan menjalani sebarang perintah reman selain kes disiasat di bawah Seksyen 16(b)(A) Akta SPRM 2009.

Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan.

Artikel Berkaitan: