Gagal seludup 2.2 tan daun ketum ke negara jiran

Sebanyak 220 bungkusan plastik hitam disyaki mengandungi daun ketum yang ditemui dalam keadaan berselerak ditemui di tepi muara Kuala Sala di sini pada Ahad.
Sebanyak 220 bungkusan plastik hitam disyaki mengandungi daun ketum yang ditemui dalam keadaan berselerak ditemui di tepi muara Kuala Sala di sini pada Ahad.
A
A
A

KUALA KEDAH - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah mematahkan cubaan menyeludup keluar lebih kurang 2.2 tan daun ketum di perairan muara Kuala Kedah pada Ahad.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, rampasan pada kedudukan 0.15 batu nautika muara Kuala Sala itu dilakukan kira-kira jam 6 pagi selepas menerima maklumat risikan berkaitan aktiviti pemunggahan mencurigakan di muara berkenaan.

"Setiba di lokasi berkenaan, bot ronda Maritim Malaysia yang melakukan rondaan Ops Aman di perairan Kuala Kedah berjaya mengesan longgokan plastik hitam yang mencurigakan dalam keadaan berselerak di tepi muara.

"Pemeriksaan lanjut ke atas bungkusan berkenaan menemukan daun hijau disyaki daun ketum berjumlah 220 bungkus dan dianggarkan seberat 2.2 tan yang dipercayai baru sahaja diletakkan di lokasi terbabit," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Noor Azreyanti memberitahu, kesemua daun ketum terbabit dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran melalui jalan laut.

Katanya, semua hasil rampasan daun ketum yang dianggarkan bernilai RM396,000 dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat bagi tindakan lanjut.

"Kes akan disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan tersebut.

"Jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih daripada RM10,000 atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau menegaskan, Maritim Malaysia memandang serius aktiviti penyeludupan bahan terlarang ini.

"Untuk rekod, tiga kes rampasan daun ketum telah berjaya ditumpaskan dengan nilai anggaran RM380,000 sepanjang bulan ini," katanya.

Sebarang aduan aktiviti jenayah atau kecemasan di laut boleh disalurkan melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-731057.