Seluruh England: Perjalanan Zii Jia terhenti separuh akhir

Zii Jia. - Foto Badminton Photo
Zii Jia. - Foto Badminton Photo
A
A
A

HASRAT pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia untuk mengekalkan kejuaraan Seluruh England tidak kesampaian apabila dinoktahkan pemain India, Lakshya Sen di pentas separuh akhir pada Sabtu.

Tampil reputasi pemain nombor tujuh dunia berserta bekalan semangat ketika menundukkan pilihan kedua, Kento Momota di suku akhir sebelum ini, Zii Jia yang berstatus pilihan keempat kejuaraan dikejutkan lawan dari Uttarakhand tersebut dengan kekalahan 13-21 pada set pertama.

Namun pemain kelahiran Alor Setar berusia 23 tahun tersebut kembali bangkit semula apabila memenangi set kedua 21-12 sebelum lawannya berusia 20 tahun yang juga pemain nombor 11 dunia menafikan kemaraan Zii Jia dengan kemenangan 21-19 dalam aksi 76 minit di Utilita Arena Birmingham.

Untuk rekod, Zii Jia melakar sejarah tersendiri apabila muncul juara Seluruh England sebelum ini selepas menewaskan bintang Denmark, Viktor Axelsen 30-29, 20-22, 21-9 dalam tempoh lebih sejam pada aksi final.

Kejayaan Zii Jia itu juga mengakhiri kemarau empat tahun Malaysia untuk muncul juara perseorangan lelaki selepas kali terakhir dimenangi Datuk Lee Chong Wei pada edisi 2017.

Artikel Berkaitan: