Konflik Rusia-Ukraine akan beri kesan pengeluaran komoditi negara

Willie Mongin - Foto Bernama
Willie Mongin - Foto Bernama
A
A
A

SERIAN - Konflik Rusia-Ukraine yang berlarutan dijangka memberi kesan kepada pengeluaran komoditi negara terutamanya berikutan peningkatan harga baja, kata Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Willie Mongin.

Beliau berkata, kenaikan harga baja itu berlaku memandangkan Rusia merupakan salah satu negara pengeluar utama komponen pembuatan baja dunia dan Malaysia mengimport bahan berkenaan.

"Sebab itulah harga baja terus meningkat, sudah semestinya konflik ini ada kesannya (kepada pengeluaran komoditi negara ini)," katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Jelajah Agrikomoditi #KeluargaMalaysia 2022 anjuran Lembaga Koko Malaysia di Siburan, dekat sini, pada Sabtu.

Dalam pada itu, Willie berkata, minyak sawit yang merupakan salah satu komoditi eksport utama negara mencatatkan harga paling tinggi ketika ini susulan permintaan tinggi terhadap komoditi itu berbanding minyak sayuran lain seperti minyak kacang soya dan bunga matahari.

Menurutnya, trend harga tinggi minyak sawit di pasaran dunia itu dijangka berterusan ekoran keadaan cuaca tidak menentu dan kos buruh tinggi yang dialami negara-negara pengeluar minyak kacang soya dan bunga matahari pada masa ini. - Bernama

Artikel Berkaitan: