Peserta Misi Malaysia Everest 2022 cerminan belia kalis cabaran

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengajak seluruh rakyat negara ini menjadikan semangat cekal peserta Misi Malaysia Everest 2022 Orang Kurang Upaya (OKU), Muhammad Hawari Hashim bersama pasukannya sebagai sumber inspirasi buat semua Keluarga Malaysia dalam mendepani sebarang cabaran.

Menerusi hantaran di laman Facebook dan Twitter, Perdana Menteri menzahirkan rasa bangga dengan semangat juang Muhammad Hawari, 31, yang merupakan OKU pendengaran bersama pasukannya yang mencerminkan belia Keluarga Malaysia yang kalis cabaran serta bersemangat melaksanakan misi mereka.

Ismail Sabri berkata, beliau menerima satu mesej melalui Instagram dan Facebook daripada anak belia berwawasan itu yang ingin bertemu dengannya sebelum Misi Malaysia Everest 2022 bersama pasukannya pada 15 April depan.

"Misi (Muhammad) Hawari juga mendapat liputan akhbar dan media tempatan. Semalam, saya bertemu Hawari dan pasukannya dalam satu program Yayasan Keluarga Malaysia di WTC, Kuala Lumpur pada Perhimpunan Agung UMNO 2021.

"Semoga semangat cekal kalian menjadi inspirasi buat seluruh Keluarga Malaysia. Saya doa semoga berjaya buat kalian yang bakal memulakan misi 15 April ini. Kalian hero Keluarga Malaysia,” katanya.

Perdana Menteri turut memuat naik video perjumpaannya dengan Muhammad Hawari dan peserta lain misi itu dalam hantaran tersebut.

Muhammad Hawari antara 10 rakyat Malaysia yang bakal menakluk puncak tertinggi di dunia, Gunung Everest yang bermula pada 15 April ini dalam misi Malaysia Everest 2022.

Sekiranya berjaya, Muhammad Hawari akan menjadi OKU pertama negara yang berjaya menjejakkan kaki ke puncak Everest selepas beliau berjaya sampai ke Annapurna Base Camp pada ketinggian 4,130 meter dari aras laut, Ogos lepas.

Selain Muhammad Hawari, pendaki lain ialah Azim Afif Ishak, 33; Ayu Wanirah Naharuddin, 29; bekas pesilat negara Rina Jordana Adnan, 42; Ahmad Murshid Maktar, 35; Jack Oh Jin Heng, 37; Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah Leftenan Kolonel (PA) Awang Askandar Ampuan Yaacub, 54; serta tiga wakil daripada Komando (VAT 69) iaitu Kanang Anak Usin, 42, Pragash Murusgesu, 32, dan Mohammad Hanif Che Ahmad, 28. - Bernama

Artikel Berkaitan: