JKM, MPT diarah beri bantuan awal kepada mangsa kebakaran

Hajiji
Hajiji
A
A
A

KOTA KINABALU - Kerajaan Sabah telah mengarahkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Perbandaran Tawau (MPT) untuk mengambil langkah bantuan awal bagi membantu mangsa yang terjejas dalam kebakaran di Tawau.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerajaan juga akan mencari jalan untuk membantu mangsa yang terjejas itu.

"Kerajaan akan mencari jalan membantu mangsa-mangsa kebakaran yang berlaku di Tawau, insya-ALLAH.

"Kita telah arahkan JKM dan juga MPT untuk mengambil tindakan atau langkah-langkah bantuan awal kepada mangsa-mangsa tersebut," katanya pada pemberita pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan kerajaan berhubung mangsa yang terjejas akibat kebakaran di perkampungan atas air di Jalan Apas Kampung Kurnia Jaya, Batu 4, Tawau, pada Khamis lalu.

Dalam kejadian itu, dianggarkan kira-kira 700 rumah musnah terbakar dan menurut laporan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sabah, seramai 1,338 mangsa dikenal pasti terjejas akibat kejadian itu.

Bagaimanapun, setakat Sabtu ini, hanya seramai 317 daripada jumlah mangsa terbabit ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu di Dewan Serbaguna Kampung Kinabutan Kecil dan Dewan Serbaguna Kampung Hidayat Batu 4, Tawau.

Sementara itu, Ahli Parlimen Tawau, Datuk Christina Liew yang melawat mangsa kebakaran pada Jumaat turut mencadangkan supaya mangsa yang terjejas ditempatkan di rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) supaya mereka ada kediaman sendiri selepas ini.

Artikel Berkaitan:

Christina melawat mangsa kebakaran yang ditempatkan di PPS di Tawau.
Christina melawat mangsa kebakaran yang ditempatkan di PPS di Tawau.

"Beri keutamaan kepada mangsa dan saya akan menulis surat kepada kerajaan Sabah bagi pihak mereka supaya mangsa boleh memohon sebuah rumah PPR nanti," katanya.

Sebelum itu, Christina turut mengumumkan bantuan wang tunai sebanyak RM10,000 dan bantuan makanan kepada mangsa kebakaran terbabit.