Pas tidak takut kalah: Abdul Hadi

Abdul Hadi (tengah) ketika melawat salah satu ruang di Bangunan Pentadbiran Kompleks Pas Kedah di Kota Sarang Semut, di Alor Setar pada Jumaat.
Abdul Hadi (tengah) ketika melawat salah satu ruang di Bangunan Pentadbiran Kompleks Pas Kedah di Kota Sarang Semut, di Alor Setar pada Jumaat.
A
A
A

ALOR SETAR - Pas tetap teguh dalam menegakkan perjuangan dan tidak akan sesekali takut kekalahan meskipun parti Islam terbabit bukanlah sebuah parti yang kaya-raya.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, Pas tabah dan berjaya menempuh sebuah perjuangan yang panjang walaupun berdepan pelbagai ujian termasuklah pemimpin bersilih ganti.

"Kita biasa kalah. Dia (parti lain) yang selalu menang, apabila kalah sekali 'lembik lutut'. Jangan berasa hina jika melihat musuh kamu dalam keadaan begitu, mereka sakit, berasa takut, takut kalah.

"Kita tidak takut, kita terus langsungkan perjuangan sehingga akhir hayat," katanya ketika berucap merasmikan Bangunan Pentadbiran Kompleks Pas Kedah di Kota Sarang Semut di sini pada Jumaat.

Hadir sama, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin; Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Ahmad Yahaya.

Tambah beliau, Pas merupakan parti yang paling lama boleh melangsungkan perjuangan sehingga hari ini.

"Parti lain, apabila pemimpin mati, parti mati, apabila pemimpin lemah, parti pun lemah. Kita, apabila ada pemimpin yang lemah, (namun apabila) ada pemimpin mengambil alih, (beliau) melangsungkan perjuangan. Ini kehebatan kita," katanya.

Beliau berkata, ia dibuktikan dengan keupayaan Pas kini yang mentadbir tiga negeri iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu, selain bersama kerajaan pusat.

Artikel Berkaitan:

"Ini baharu satu permulaan. Kita baharu berada dalam 'gear' satu bagi sebuah kenderaan belum lagi masuk 'gear' kelima," katanya.

Abdul Hadi turut berpesan supaya ahli-ahli Pas sentiasa beristiqamah dan tidak terpengaruh atau terikut-ikut dengan golongan tertentu.

Mengulas mengenai pembinaan Bangunan Pentadbiran Kompleks Pas Kedah, Abdul Hadi turut memuji sikap ahli Pas yang berjiwa besar hingga menyaksikan kompleks pentadbiran itu berjaya didirikan hasil sumbangan ahli-ahli termasuklah daripada golongan petani.

Tegasnya, pembinaan bangunan pentadbiran berkenaan turut menunjukkan parti itu tidak lemah, sebaliknya memiliki kekuatan tersendiri.