Peningkatan harga kelengkapan sekolah amat dirasai

Ibu bapa memilih kelengkapan persekolahan anak-anak sempena pembukaan sesi persekolahan baharu tidak lama lagi. Gambar kecil dari kiri: Mohammad Faridzul, Nizuwar Noor, Hamidah
Ibu bapa memilih kelengkapan persekolahan anak-anak sempena pembukaan sesi persekolahan baharu tidak lama lagi. Gambar kecil dari kiri: Mohammad Faridzul, Nizuwar Noor, Hamidah
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kebanyakan ibu bapa mengakui mereka terpaksa berbelanja lebih bagi membeli kelengkapan persekolahan anak-anak yang akan memasuki sesi persekolahan baharu tidak lama lagi.

Tinjauan Sinar Harian di sini mendapati kebanyakan daripada mereka berkata, peningkatan harga bagi kelengkapan persekolahan anak-anak pada tahun ini amat dirasai.

Sepasang suami isteri, Nizuwar Noor Abd Samad, 41, dan Hamidah Abu Bakar, 41, berkata, peruntukan persiapan persekolahan bagi anaknya yang kini berada di Tahun Lima meningkat berbanding sebelum ini.

“Tahun ini belanja sekolah untuk dia seorang sahaja mencecah RM300 tidak termasuk tiga yang lain yang masih bersekolah mungkin cecah RM1,000.

“Disebabkan setiap tahun kami beli pakaian sekolah baharu untuk dia, dari segi harga tu sudah boleh buat perbandingan kerana harga bagi kelengkapan sekolah anak memang berubah setiap tahun.

"Saya perhatikan, belanja tahun ini meningkat. Kalau tahun lepas belanja RM200, tahun ini RM300,” katanya.

Mohd Fauzi (tengah) melihat isterinya, Roziwati Saad (kiri) mencuba seluar sekolah baharu untuk anaknya.
Mohd Fauzi (tengah) melihat isterinya, Roziwati Saad (kiri) mencuba seluar sekolah baharu untuk anaknya.

Sementara itu, peniaga, Mohd Fauzi Hamzah, 41, berkata, walaupun dapat berjimat tidak membeli baju sekolah anak, kenaikan harga barangan kelengkapan persekolahan tetap dirasai.

“Anak lelaki saya akan memasuki Tingkatan Satu, namun disebabkan saiz badan yang tidak begitu cepat membesar, dia masih boleh memakai baju sekolah Tahun Enam cuma saya perlu carikan seluar sekolah untuk dia.

Artikel Berkaitan:

“Dalam pada berusaha untuk berjimat, belanja kelengkapan sekolah untuk dia sahaja mencecah RM200 tahun ini. Kenaikan harga bagi kebanyakan barangan termasuk kelengkapan sekolah amat dirasai,” katanya.

Pengawal keselamatan, Mohammad Faridzul Sidek, 32, pula berkata, perbelanjaan untuk persiapan sekolah anak tahun ini amat dirasai kerana kebanyakan harga keperluan meningkat.

“Banyak kelengkapan sekolah naik harga seperti baju, kasut dan beg sekolah.

“Saya belanjakan RM600 untuk tiga anak yang bersekolah. Itu pun kira sudah berjimat sebab ada jiran-jiran bermurah hati beri pakaian sekolah terpakai yang masih elok untuk digunakan,” katanya.