'Tanya Pas MN masih relevan atau tidak' - Asyraf Wajdi

Asyraf Wajdi ketika sidang akhbar di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), pada Jumaat.
Asyraf Wajdi ketika sidang akhbar di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Persoalan mengenai penyatuan Pas dan UMNO menerusi Muafakat Nasional (MN) masih kekal relevan atau tidak perlu dirujuk kepada kepimpinan Pas.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ia berikutan Pas sendiri yang mengambil keputusan untuk meninggalkan MN dan memilih untuk menyertai Perikatan Nasional (PN).

“Soal (boleh) selamat ataupun tidak, kena tanya Pas kerana mereka yang meninggalkan MN. Menerusi beberapa siri mesyuarat MN, tiga kali kita tanya Pas betul atau tidak mereka akan menyertai jawatankuasa penaja PN? Tiga kali itu juga Pas menafikan.

“Rupa-rupanya selepas ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali mengumumkan keluar Pas, beliau mendedahkan keputusan parti itu menyertai PN tidak pernah dirujuk kepada Majlis Syura Ulam (MSU) Pas yang merupakan majlis tertinggi dalam membuat keputusan (untuk) parti itu.

“Ini membuktikan apa yang saya telah memberitahu sebelum ini,” katanya ketika mengadakan sidang akhbar di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, pada Jumaat.

Mengulas lanjut, beliau berkata, UMNO tidak pernah mengkhianati hubungan kedua-dua parti tersebut, bahkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sebelum ini pihaknya masih lagi mahu menyelamatkan hubungan MN.

“Kalau ingat lagi keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) waktu itu, kita minta Pas bertanding menggunakan lambang mereka sendiri. Kita juga bersedia untuk memberikan kerusi-kerusi yang Pas boleh menang.

“Sebaliknya, keputusan yang mereka ambil adalah mahu menggunakan lambang PN. Itu susahlah kerana keputusan Perhimpunan Agung UMNO (PAU), kita tak boleh bersama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu),” katanya.

Artikel Berkaitan: