GRS dianggotai Bersatu, PBS, STAR, SAPP

A
A
A

KOTA KINABALU - [DIKEMASKINI] Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang didaftarkan pada minggu lalu kini terdiri daripada empat parti iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP).

Pengerusinya, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, mesyuarat GRS telah diadakan buat pertama kalinya selepas ia diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).

"Untuk makluman, senarai pimpinan parti atau GRS ini ialah Pengerusi iaitu saya sendiri, manakala Timbalan Pengerusi terdiri daripada Datuk Seri Dr Maximus Ongkili (Presiden PBS); Datuk Seri Dr Jeffry Kitingan (Presiden STAR) dan Datuk Yong Teck Lee (Presiden SAPP) manakala Setiausaha Agung, Datuk Seri Masidi Manjun.

"Kami akan lengkapkan struktur pimpinan GRS dalam masa terdekat dan akan umumkan dalam mesyuarat akan datang. Pendaftaran GRS merupakan sejarah bagi jajaran politik baharu di Sabah kerana menggabungkan empat parti iaitu Bersatu, PBS, STAR dan SAPP," katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat pertama GRS di sini, pada Jumaat.

Mengulas berhubung ketiadaan UMNO dalam gabungan itu, beliau yang juga Ketua Menteri Sabah menjelaskan bahawa kerajaan yang ada kini adalah kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) dan UMNO.

"Sekarang ini dalam kerajaan negeri kami bersama UMNO dan BN. Tetapi dalam gabungan rasmi sekarang ini, kami hanya empat parti manakala UMNO BN ialah rakan dalam kerajaan GRS negeri," katanya.

Kata Hajiji lagi, parti yang ingin menyertai GRS akan dipertimbangkan termasuk parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM).

"Satu jawatankuasa khas untuk membuat laporan kepada majlis tertinggi akan ditubuhkan pada masa akan datang untuk permohonan parti lain yang ingin menyertai Sabah.

Artikel Berkaitan:

"Setakat ini, Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) memohon awal tahun lalu jadi kami akan membuat pertimbangan sebaik-baiknya nanti.

"Insya-ALLAH kami akan mempertimbangkan permohonan-permohonan parti yang ingin menyertai GRS," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berharap dengan adanya gabungan ini kestabilan politik Sabah adalah seperti diharapkan.

"Ini demi kepentingan perpaduan dan kerjasama antara parti-parti yang ada di Sabah sekarang," katanya.

Sebelum itu, beliau turut memaklumkan bahawa pelancaran GRS akan diadakan pada hujung Mei depan namun tarikh belum ditentukan lagi.

"Insya-ALLAH, kami akan guna lambang GRS untuk pilihan raya umum," katanya mengenai logo yang akan digunakan gabungan itu.