JPJ sasar nombor NDU kutip lebih RM1.3 juta

Hanif Yusabra (tengah) dan pegawainya menunjukkan antara nombor siri pendaftaran NDU yang dijangka menjadi rebutan.
Hanif Yusabra (tengah) dan pegawainya menunjukkan antara nombor siri pendaftaran NDU yang dijangka menjadi rebutan.
A
A
A

SEREMBAN - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan menyasarkan nombor siri pendaftaran NDU akan mencapai kutipan hasil melebihi RM1.3 juta.

Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, nombor pendaftaran itu boleh dibida bermula 20 Mac ini, jam 12.01 malam hingga 24 Mac, jam 10 malam melalui Sistem Bidaan Nombor Pendaftaran Kenderaan Dalam Talian (JPJeBid).

Menurutnya, antara nombor pendaftaran yang dijangka menjadi rebutan ialah NDU8, NDU88, NDU8055, NDU999 dan NDU333.

"Kita menjangkakan nombor siri NDU ini akan mendapat sambutan ramai kerana keadaan ekonomi yang mula menunjukkan peningkatan semula.

"Selain itu dalam tempoh dua bulan ini pendaftaran kereta meningkat di Negeri Sembilan dan ia antara faktor kita yakin nombor siri NDU ini mendapat sambutan," katanya pada sidang akhbar Pelancaran Nombor Siri NDU di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, kategori nombor bernilai utama menawarkan harga bidaan bermula RM20,000, nombor menarik RM3,000, nombor popular RM800 dan nombor biasa RM300.

Jelasnya, kaedah pembayaran bidaan dalam JPJeBid hanya melalui kad kredit dan kad debit tempatan sahaja.

"Setiap individu hanya layak memenangi maksimum tiga nombor kenderaan manakala bagi perniagaan atau syarikat tidak melebihi lima kenderaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu katanya, sepanjang tempoh pelaksanaan sistem JPJeBid diperkenalkan bermula siri NDN hingga NDT jumlah kutipan hasil diperoleh sebanyak RM6.89 juta.

Hanif Yusabra memberitahu, nombor pendaftaran NDT 1 mendapat bidaan tertinggi iaitu RM140,100.