Ucapan Presiden UMNO mampu bawa keharmonian: Annuar

Annuar ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2021 di WTCKL, pada Jumaat.
Annuar ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2021 di WTCKL, pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa menyifatkan ucapan dasar Presiden parti ketika merasmikan Perhimpunan Agung UMNO amat jelas, penuh diplomasi serta boleh membawa keharmonian.

Annuar berkata, pendekatan yang digunakan oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika menyampaikan beberapa pesanan kepada para perwakilan dilihat mampu mengharmonikan situasi.

"Mesej tetap sampai, boleh difahami dan pendekatannya adalah lunak dan boleh mengharmonikan situasi. Tidak semestinya semua orang sependapat, tetapi saya rasa Presiden (Ahmad Zahid) telah membuat ucapan ‘well delivered’,” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian perhimpunan itu di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, pada Jumaat.

Ketika berucap pada majlis perasmian, Ahmad Zahid mengulangi pendirian UMNO untuk mendukung kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi membangunkan semula negara.

Sementara itu mengenai Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Annuar berkata, keputusan mengenai perkara tersebut tidak boleh dibuat secara ‘unilateral’.

"Kita berada dalam satu kerajaan yang merupakan gabungan pelbagai parti, UMNO tidak boleh buat keputusan secara 'unilateral'.

"Ada kaedah yang akan diperincikan oleh parti. Saya fikir apa yang digambarkan Presiden agak jelas, sebenarnya menyegerakan PRU memang menjadi impian semua orang, cuma soal bila dan bagaimana, kita perlu mengambil kira peruntukan dalam Perlembagaan,” katanya.

Dalam pada itu Annuar mengingatkan ahli UMNO, bahawa perbincangan isu berkaitan pembubaran Parlimen dilakukan secara tertib dan tidak mendahului kuasa Yang di-Pertuan Agong.

Artikel Berkaitan: