Rasuah: Bekas majistret dijel 58 tahun, denda RM1.05 juta

Mohamad Amin (tengah) dituduh di Mahkamah Sesyen Kuantan pada Jumaat selepas didapati bersalah atas enam pertuduhan meminta dan menerima suapan daripada seorang peniaga, tiga tahun lalu.
Mohamad Amin (tengah) dituduh di Mahkamah Sesyen Kuantan pada Jumaat selepas didapati bersalah atas enam pertuduhan meminta dan menerima suapan daripada seorang peniaga, tiga tahun lalu.
A
A
A

KUANTAN - Bekas Majistret dijatuhi hukuman penjara 58 tahun dan denda RM1.05 juta oleh Mahkamah Sesyen Kuantan pada Jumaat selepas didapati bersalah atas enam pertuduhan meminta dan menerima suapan daripada seorang peniaga, tiga tahun lalu.

Hukuman itu dijatuhkan oleh Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Bagaimanapun tertuduh, Mohamad Amin Shahul Hamid, 40, yang sebelum ini berkhidmat di mahkamah di Lipis dan Raub hanya menjalani hukuman penjara 12 bulan bermula tarikh sabitan selepas mahkamah memerintah kesemua hukuman penjara berjalan secara serentak.

Mohamad Amin juga berdepan hukuman penjara tambahan 72 bulan, jika gagal membayar denda ditetapkan mahkamah.

Tertuduh didapati bersalah meminta suapan berjumlah RM100,000 dan menerima suapan bernilai RM110,000 daripada Hassan Basri Ahmad Sutan Modo di sekitar Lipis dan Raub antara 5 Julai hingga 22 Oktober 2019.

Suapan itu diminta sebagai dorongan untuk tertuduh hanya mengenakan denda dan tidak menjatuhkan hukuman penjara terhadap Hassan Basri yang didakwa memiliki rokok seludup semasa kes itu didengar di hadapan tertuduh.

Dia bersalah mengikut Seksyen 16(a) (B) dan Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 serta boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding itu, Ahmad Zamzani turut membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM25,000 bagi menangguhkan semua hukuman itu selepas pihak pembelaan mengemukakan permohonan untuk menfailkan keputusan berkenaan ke Mahkamah Tinggi.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin manakala tertuduh diwakili peguam S Meheraj.

Pada 9 Ogos tahun lalu, mahkamah selepas mendengar keterangan 15 saksi pendakwaan memerintahkan tertuduh membela diri terhadap semua pertuduhan secara bersumpah tanpa mengemukakan saksi lain bagi menyokong pembelaannya.