SIC minat anjur F1 jika dapat tawaran

Perlumbaan F1 di SIC tidak lama dahulu. - Foto F1
Perlumbaan F1 di SIC tidak lama dahulu. - Foto F1
A
A
A

PIHAK Litar Antarabangsa Sepang (SIC) mengakui berminat sekiranya mendapat tawaran daripada pihak Formula Satu (F1) berhubung penganjuran Grand Prix (GP) F1 di litar berkenaan bagi menggantikan GP F1 Russia yang dijadualkan pada 25 September depan.

Ketua Pegawai Eksekuktif (CEO) SIC, Azhan Shafriman Hanif berkata, pihaknya yakin ramai pihak di negara ini terutamanya peminat sukan permotoran menantikan perlumbaan F1 kembali ke negara ini.

Bagaimanapun menurutnya, sehingga hari ini pihaknya masih belum menerima apa-apa tawaran daripada pihak F1 dan juga Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) berhubung perkara berkenaan.

“Semua orang sudah tahu perkara ini, malah telahpun tular dan menjadikan SIC trending di Twitter apabila diberitakan berminat untuk menggantikan Rusia bagi menganjurkan GP F1.

“Bagaimanapun, setakat ini kita masih belum terima apa-apa tawaran dan kalau ada, kita akan pertimbangkan lagi pun kita pun belum ‘keluar’ sepenuhnya daripada pandemik ini (Covid-19) dan kita kena tengok juga pendapatan kita.

“Selain itu, kalau dilihat dari sudut kewangan kita berharap agar penganjurannya (F1) nanti boleh memberikan pulangan yang setimpal kepada kita,” katanya ketika sidang akhbar dalam talian pada Jumaat.

Untuk rekod, pihak F1 telah membatalkan GP F1 Russia yang dijadualkan berlangsung di Litar sochi Autodorm pada 25 September akan datang susulan serangan Rusia ke atas Ukraine ketika ini.

Kali terakhir F1 dianjurkan di SIC adalah pada 2017 lalu iaitu bagi edisi ke-19 sejak kali pertama dianjurkan di venue sama pada 1999.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Azhan Shafriman berkata, sekiranya mendapat pengesahan bagi menganjurkan F1 di Sepang, SIC memerlukan sekurang-kurangnya enam bulan bagi membuat persiapan.

Malah ketika ini menurutnya, keadaan litar di Sepang masih dalam keadaan yang baik dan boleh digunakan.

“Sebagai makluman, keadaan litar di Sepang masih dalam keadaan yang terbaik, lagi pun kita ada pengalaman menganjurkan F1 sebelum ini.

“Bagaimanapun, kita memerlukan masa sekurang-kurangnya enam bulan sebagai persediaan kelak.

“Banyak perkara yang perlu kita selesaikan dalam tempoh enam bulan berkenaan seperti berurusan dengan pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Kewangan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan juga Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya.