Sebak terima Anugerah Anumerta anak

Tahar Suhaimi dan Pazilah menerima Anugerah Anumerta Allahyarham anak mereka yang disampaikan Abi Musa Asa'ari Mohamed Nor di kamar dewan sempena Majlis Konvokesyen UMP Ke-15 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini pada Khamis.
Tahar Suhaimi dan Pazilah menerima Anugerah Anumerta Allahyarham anak mereka yang disampaikan Abi Musa Asa'ari Mohamed Nor di kamar dewan sempena Majlis Konvokesyen UMP Ke-15 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini pada Khamis.
A
A
A

KUANTAN - Pasangan suami isteri, Tahar Suhaimi Mohd Shariff, 54, dan Pazilah Haron,54, sebak ketika menerima Anugerah Anumerta arwah anaknya pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang (UMP) ke-15, di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini pada Khamis.

Anak pasangan itu, Allahyarham Muhammad Amirul Muizz, 24, meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya di sini kira-kira dua tahun lalu.

Ketika kejadian, Allahyarham merupakan pelajar tahun akhir Fakulti Pengurusan Industri UMP dan bakal menamatkan pengajiannya selepas menjalani latihan industri.

Lebih memilukan, kejadian itu disaksikan sendiri Tahar Suhaimi dan Pazilah.

Pazilah berkata, kejadian malang menimpa anaknya itu masih segar dalam ingatan.

Menurutnya, ketika itu dia dan suami dalam perjalanan mengiringi anaknya itu dari Bera ke Kuantan untuk ke rumah sewa bagi memulakan sesi latihan industri di sebuah industri di Bukit Goh.

“Setiap kali arwah pulang ke kampus dengan menaiki motosikal, saya dan suami akan mengekorinya sehingga ke Kuantan.

“Rupanya perjalanan hari itu adalah adalah saat terakhir kami bersamanya.

Artikel Berkaitan:

"Siapa sangka tidak sampai 15 minit untuk sampai ke rumah sewanya di Kuantan, Allahyarham Amirul Muiz terlibat dalam kemalangan dan lebih menyayat hati kejadian itu berlaku di depan mata kami sendiri,” katanya.

Pazilah berkata, masih terngiang-ngiang di ingatannya, arwah anaknya itu berhasrat untuk memakai pakaian segak di hari konvokesyen dan bergambar di sekitar UMP Pekan serta Gambang.

"Namun kini semuanya itu hanya tinggal kenangan," katanya.

Sementara itu, Tahar Suhaimi berterima kasih kepada pihak UMP yang menjemputnya dan isteri ke majlis konvokesyen itu untuk menerima Anugerah Anumerta arwah anaknya yang disampaikan Pro Canselor UMP, Tan Sri Abi Musa Asa'ari Mohamed Nor.

"Sejak Allahyarham meninggal dunia, pihak UMP sering menghubungi kami dan menguruskan segala keperluan yang berkaitan akademik termasuklah bersetuju untuk menamatkan pengajian beliau dengan mengurniakan ijazah ini.

"Harapan saya kini supaya anak bongsu kami, Muhammad Adam Mukhriz, 19, yang kini menuntut di Institut Kemahiran Mara di Pekan dapat mengikuti jejak langkah Allahyarham abangnya menyambung pengajian di UMP," katanya.

Baginya, anugerah itu sesuatu yang menggembirakan dia sekeluarga kerana hasrat Allahyarham untuk membahagiakan mereka tercapai.

Majlis penyerahan anugerah itu turut dihadiri Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman dan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof Ts Dr Mohd Rosli Hainin.