'Tuang kicap pun keluar lalat'

Razman (kiri) ketika meninjau operasi ladang ternakan ayam di Batu 2 Kampung Changkat Lobak, pada Khamis.
Razman (kiri) ketika meninjau operasi ladang ternakan ayam di Batu 2 Kampung Changkat Lobak, pada Khamis.
A
A
A

BAGAN SERAI - Tuang kicap keluar lalat dari botol.

Itu antara situasi terpaksa dihadapi lebih 1,000 penduduk di Batu 2 Kampung Changkat Lobak di sini, susulan gangguan lalat sejak lebih 20 tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Changkat Lobak, Muhammad Ridzuan Zulkifli berkata, kacau ganggu itu berlarutan berpunca dari ladang ternakan ayam yang diusahakan secara terbuka oleh beberapa penternak tidak jauh dari lokasi penempatan.

"Masalah lalat ini tidak pernah selesai dan menjadi mimpi ngeri kepada penduduk.

"Bayangkan, bila balik kerja nak makan nasi dan tuang kicap, keluar lalat dari dalam botol.

"Itu belum lagi penderitaan yang dihadapi oleh pengusaha kedai makan, akibat lalat pelanggan yang datang nak makan terpaksa beredar begitu sahaja," katanya kepada pemberita di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan lawatan kerja Exco Pertanian, Perladangan dan Industri Makanan Perak, Razman Zakaria di sini.

Muhammad Ridzuan berkata, pernah berlaku di kampung itu, penduduk yang hadir makan kenduri mengalami cirit-birit kesan daripada makanan yang tercemar akibat gangguan lalat yang kritikal.

Artikel Berkaitan:

"Selalu bila ada kenduri, tuan rumah jadi malu dan kasihan kepada tetamu yang hadir," katanya.

Penduduk, Zulkifli Mat Yusof, 60, berharap, kerajaan negeri dapat menyelesaikan isu berkenaan dengan segera.

Katanya, pemeriksaan dan langkah penguatkuasaan oleh jabatan berkaitan perlu dilaksanakan lebih kerap sebagai peringatan kepada penternak terlibat.

"Sampai bila penduduk harus bersabar, gangguan lalat ini bukan masalah baru, tetapi sudah berlarutan lebih 20 tahun.

"Harap selepas ini akan ada penyelesaian yang menjamin kedua-dua pihak," katanya.

Sementara itu, Razman memberi jaminan kerajaan negeri akan meningkatkan penguatkuasaan dengan mengarahkan Jabatan Veterinar mengambil tindakan terhadap ladang ayam terlibat.

Katanya, dalam situasi sekarang, pemilik ladang ayam dinasihatkan segera menukar konsep ladang terbuka mereka kepada ladang moden agar tidak menimbulkan kesulitan kacau ganggu lalat kepada penduduk di penempatan berdekatan.

"Kerajaan negeri kini sedang dalam proses menyiapkan draf enakmen baharu berhubung perkara ini untuk dibentangkan di Persidangan Dewan Undangan Negeri tidak lama lagi," katanya.