Dua lelaki ditahan curi tong RORO

Beh Eng Lai (kanan) melihat tong RORO yang dirampas di Balai Polis Jinjang.
Beh Eng Lai (kanan) melihat tong RORO yang dirampas di Balai Polis Jinjang.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menahan dua lelaki dipercayai terbabit dalam kegiatan mencuri lima tong 'Roll On Roll Off' (RORO) di sekitar daerah ini pada 19 Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, suspek berusia 35 dan 40 tahun itu ditahan di Bandar Baru Sentul dan Kampung Laksama Batu Caves pada Jumaat.

Menurutnya, dalam serbuan itu polis turut merampas lima tong RORO yang dianggarkan bernilai RM40,000 dan sebuah lori yang digunakan untuk membawa tong tersebut.

"Modus operandi kumpulan itu adalah mereka mencuri tong RORO yang diletakkan di hadapan deretan kedai dan di sekitar kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di daerah ini.

"Suspek akan mewarnakan semula tong sampah tersebut atau memadamkan nama syarikat yang tertera di permukaan tong sebelum ia disewakan dengan nilai RM200 hingga 400 sehari bagi mendapat hasil yang lumayan," katanya ketika sidang akhbar di Balai Polis Jinjang di sini pada Khamis.

Eng Lai berkata, semakan rekod mendapati kedua-dua suspek mempunyai pelbagai rekod berkaitan kes jenayah.

"Kedua-kedua suspek itu dipercayai aktif melakukan jenayah curi tong RORO sejak tahun lalu," katanya.

Katanya, kedua-dua suspek itu direman tujuh hari bermula Sabtu sehingga Jumaat bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan

Artikel Berkaitan:

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di 0340482222," katanya.