Ceroboh hutan: JPNP tahan pemandu jengkaut

Anggota Unit Penguat kuasa Barat
JPNP menyita jengkaut yang menceroboh Hutan Simpan Jerantut. Foto: JPNP Pahang
Anggota Unit Penguat kuasa Barat JPNP menyita jengkaut yang menceroboh Hutan Simpan Jerantut. Foto: JPNP Pahang
A
A
A

KUANTAN - Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) menahan seorang pemandu jengkaut yang sedang melakukan kerja-kerja pembersihan di kawasan Hutan Simpan Jerantut pada Selasa bagi membantu siasatan berkaitan pencerobohan hutan berkenaan.

Ketua Penolong Pengarah (Penguat kuasa) Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Nor Azirim Ahmad berkata, tindakan lelaki berkenaan dilihat melalui imej satelit ketika risikan dan pemantauan dilakukan bersama kakitangan Pejabat Hutan Daerah (PHD) Jerantut.

Menurutnya, serbuan dilakukan mendapati ada kerja-kerja memperbesarkan kawasan tanaman kelapa sawit yang diusahakan oleh pihak tertentu.

"Bagaimanapun, pemandu lelaki berusia 43 tahun itu diambil keterangan dan dibebaskan dengan jaminan polis.

"Kita juga bertindak menyita jengkaut dan kenderaan pacuan empat roda dipercayai digunakan untuk tujuan itu," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Tambah beliau, JPNP kini sedang berusaha mengesan individu yang menjadi dalang kegiatan menceroboh kawasan hutan simpan berkenaan.

Nor Azirim turut meminta penduduk memaklumkan pencerobohan dan pemindahan hasil hutan tanpa kebenaran sekali gus menghalang kemusnahan hutan.

"Sukar bagi jabatan untuk memastikan tidak berlaku pencerobohan tanpa kerjasama daripada masyarakat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau memberitahu, jabatan itu tidak akan berkompromi dengan jenayah pencerobohan hutan dan mereka bakal berdepan undang-undang jika ditahan pihak berkuasa.