Gesa bahas isu rakyat, tarik minat masyarakat terhadap politik

PAU 2021 berlangsung selama empat hari yang dimulakan dengan perasmian serentak Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan di Dewan Merdeka WTC KL pada Rabu. -Foto: Media UMNO
PAU 2021 berlangsung selama empat hari yang dimulakan dengan perasmian serentak Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan di Dewan Merdeka WTC KL pada Rabu. -Foto: Media UMNO
A
A
A

SHAH ALAM - Perhimpunan Agong UMNO (PAU) 2021 khususnya membabitkan persidangan sayap-sayap parti perlu dijadikan medan dalam usaha membangkitkan semula minat masyarakat terhadap perkembangan politik menerusi isu-isu yang lebih wajar untuk dibahaskan.

Penganalisis politik, Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, ia akan menjadi satu bentuk cabaran utama PAU kerana kini jelas orang ramai semakin tidak berminat dengan politik negara dan ini dibuktikan dengan sikap pasif pengundi dalam dua pilihan raya lepas, iaitu 54 peratus di Johor dan 65 peratus di Melaka.

Menurutnya, trend berkenaan adalah isu yang membimbangkan politik negara apabila masyarakat tidak turut serta sebagai pengundi, kerana itu apa yang diharapkan adalah sayap-sayap parti yang akan mula bersidang pada Khamis tidak membincangkan atau memanjangkan isu-isu politik, isu pelantikan Menteri Besar Johor misalnya atau isu-isu berhubung parti.

"Kita mahu sayap memberikan pengkhususan kepada proses pemulihan ekonomi dan permasalahan rakyat secara spesifik sebab kita tidak mahu PAU dijadikan sebagai medan membahaskan isu-isu politik.

"Kita mahukan kali ini dengan momentum kemenangan UMNO dalam dua pilhan raya lepas, mereka membuktikan kepada masyarakat dan melalui persidangan PAU ini, ketiga-tiga sayap ini mampu mengeluarkan satu bentuk cadangan-cadangan perlaksanaan polisi, struktur-struktur dan dasar-dasar yang berkepentingan masyarakat khususnya dalam pemulihan ekonomi," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Nirwandy
Nirwandy

Beliau mengulas mengenai jangkaan topik-topik yang mungkin menjadi tumpuan dalam perhimpunan tiga sayap UMNO yang bakal berlangsung serentak pada Khamis.

Mengulas lanjut, beliau tidak menolak usul isu Undi18 akan turut menjadi tumpuan khususnya dalam perhimpunan sayap Puteri dan Pemuda UMNO.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kedua-dua sayap parti itu perlu akur terdapat enam juta pengundi berdaftar yang boleh mengundi pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

"Jelas pada masa kini, puteri dan pemuda UMNO perlu mengeluarkan satu bentuk strategi untuk menarik golongan pengundi muda untuk memihak kepada mereka, atau jadikan pengundi muda ini sebagai satu kebangkitan politik matang.

"Kita mahu anak-anak muda ini mengundi pada PRU akan datang bukan berdasarkan pada persepsi politik tapi lebih memahami aspirasi pembentukan negara berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara," katanya.