Kepulangan Rafizi mampu rancakkan semula suasana politik negara

Aminuddin (tengah) pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Negeri pada Rabu.
Aminuddin (tengah) pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Negeri pada Rabu.
A
A
A

SEREMBAN - Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri(MPN) Parti Keadilan Rakyat(PKR) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menyifatkan keputusan bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli untuk kembali ke gelanggang politik mampu merancakkan semula suasana politik negara.

Menurutnya, Rafizi juga mempunyai pengaruh tersendiri dalam parti.

"Eloklah ramai-ramai balik semula dan kita perlukan semua kepimpinan sama ada kepimpinan lama atau muda untuk sama-sama kembali.

"Kita sedia maklum bahawa masing-masing ada pengaruh dan saya harap dengan kembalinya beliau akan rancakan semula suasana politik," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Negeri di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas keputusan Rafizi untuk kembali ke dalam gelanggang politik selepas mengumumkan untuk 'bersara' pada tahun 2019 kerana mahu memberi tumpuan kepada usaha mendalami ilmu pengetahuan berkaitan teknologi terkini.

Selain itu, Aminuddin yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan berkata, suasana politik negara ketika ini kelihatan agak hambar sehingga masyarakat tidak mahu keluar mengundi.

Ujarnya, beliau mahu melihat lebih ramai rakyat kembali memahami apa itu demokrasi dan apa itu pilihan raya pada masa akan datang.

Ditanya pengumuman Rafizi yang menawarkan diri bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden PKR pada pemilihan parti kali ini, Aminuddin berkata, sesiapa pun boleh menawarkan diri untuk bertanding.

Artikel Berkaitan:

"Itu tawaran beliau kepada ahli PKR dan sesiapa pun boleh mula berikan tawaran kerana PKR ada pemilihan parti tahun ini.

"Saya alu-alukan sesiapa pun untuk tawarkan diri dalam pemilihan parti kali ini kerana kita mengamalkan dasar demokrasi," ujarnya.