Kerajaan Pahang dirayu beri nasihat dahulu sebelum saman

Tengku Zulpuri Shah (kanan) dan Yu Hui (kiri) hadir di Mahkamah Sesyen Raub, Pahang pada Selasa bagi memberi sokongan kepada Shariffa Sabrina yang berdepan tiga pertuduhan menduduki tanah kerajaan tanpa kebenaran.
Tengku Zulpuri Shah (kanan) dan Yu Hui (kiri) hadir di Mahkamah Sesyen Raub, Pahang pada Selasa bagi memberi sokongan kepada Shariffa Sabrina yang berdepan tiga pertuduhan menduduki tanah kerajaan tanpa kebenaran.
A
A
A

RAUB - Kerajaan negeri Pahang dirayu untuk memberi nasihat terlebih dahulu kepada pengusaha dan pelabur ekopelancongan di negeri itu yang didakwa menduduki tanah kerajaan tanpa kebenaran sebelum bertindak mengeluarkan saman.

Ahli Parlimen Raub, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji berkata, pihak berkuasa sepatutnya memberi nasihat dan garis panduan, bukannya terus menyaman pengusaha terbabit.

Katanya, tindakan mengeluarkan saman tanpa berbincang itu hanya akan menakutkan pengusaha dan pelabur ekopelancongan di Pahang.

"Bagi saya, saman atau tindakan tanpa ada satu kajian serta perbincangan dengan pihak terlibat secara tidak langsung akan melemahkan ekopelancongan negara kita.

"Dalam semakan saya di Parlimen, di Raub dan Bentong sahaja ada tidak kurang 100 resort dan homestay orang kampung tempatan yang dibina di rizab sungai," katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir pada pertuduhan kes membabitkan Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka), Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tras, Chow Yu Hui.

Artikel Berkaitan:

Shariffa Sabrina (kanan) berbincang dengan barisan peguam belanya sebelum masuk ke kamar mahkamah.
Shariffa Sabrina (kanan) berbincang dengan barisan peguam belanya sebelum masuk ke kamar mahkamah.

Dalam prosiding itu, Shariffa Sabrina mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan menduduki tanah kerajaan tanpa kebenaran yang sah pada Jun tahun lalu menerusi pembinaan pusat peranginan mesra alam dan sebuah kafe di Mukim Ulu Dong dan Mukim Tras masing-masing di daerah ini dan di Mukim Bentong.

Pusat peranginan dan kafe itu adalah di Tanah Aina Fahad Glamping Resort, Tanah Aina Farrah Soraya Exclusive Eco Resort dan Tanah Aina Fareena Cafe dan Restaurant.

Mengulas lanjut, Tengku Zulpuri Shah yang juga bekas Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli menegaskan, semasa beliau memegang jawatan dalam kabinet, berlaku beberapa kes pengusaha menduduki rizab sungai dan pantai (menerusi pembinaan resort dan homestay).

"Ketika itu kementerian ada cadangkan solusi dengan membenarkan pengusaha terus beroperasi dengan syarat yang ketat seperti tidak membahayakan pengunjung, tidak menghalang terus laluan air sungai dan tidak menjejaskan ekosistem semula jadi di kawasan itu.

"Untuk tujuan pengangkutan dan kemudahan awam pula, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) membenarkan pembinaan transit aliran ringan (LRT) di atas rizab sungai di Kuala Lumpur dan Lembah Klang dengan syarat tertentu yang ketat," ujarnya.

Menurutnya, timbul persoalan adakah kerajaan akan mengambil tindakan saman kepada semua pengusaha ekopelancongan di Pahang.

"Apakah semua resort ini akan disaman? Apakah pendekatan kerajaan Pahang sekarang? Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah dilaksanakan dalam tempoh dua tahun ini dan ditambah buruk dengan bencana banjir yang turut menjejaskan pengusaha," katanya.

Tambah Tengku Zulpuri Shah, kerajaan juga seharusnya mengambil kira sumbangan yang diberikan pengusaha ekopelancongan selama ini kepada mereka.

Beliau memberitahu, rangkaian resort dan kafe Tanah Aina sudah banyak menerima pengiktirafan serta anugerah daripada Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Majlis Pelancongan Malaysia dan penghargaan daripada Tourism Pahang sendiri.

"Tanah Aina Resorts & Restaurants pula sudah beroperasi sejak 12 tahun lalu dan membawa nama Pahang dalam peta ekopelancongan dunia. Saya hairan kenapa baru sekarang nak timbulkan isu ini," katanya lagi.

Sementara itu, peguam bela Shariffa Sabrina, Mohd Harris Mohan sejurus selesai pertuduhan berkata, pertuduhan yang dibacakan memberi gambaran agak songsang daripada perkara sebenar.

Mohd Harris
Mohd Harris

"Pertuduhan itu menyatakan Shariffa Sabrina ceroboh tanah kerajaan. Yang sebenarnya resort di atas tanah sendiri.

"Kalau ada pun, mungkin struktur binaan itu termasuk dalam tanah kerajaan sedikit. Bukan guna tanah kerajaan untuk dirikan resort," jelasnya.

Justeru, Mohd Harris memberitahu, pihaknya akan melihat dokumen yang akan dibawa pihak pendakwaan dalam perbicaraan kes itu nanti.

Dakwanya, pihak pendakwaan juga seolah-olah cuba menunjukkan kes itu sangat serius hingga pada awalnya anak guamnya ditawarkan ikat jamin cukup tinggi iaitu RM10,000 bagi setiap kes sebelum mahkamah menetapkan kadar ikat jamin sebanyak RM3,000 bagi setiap kes.

Jelasnya, pihak pendakwaan juga memohon mahkamah memberikan perintah larangan mengeluarkan kenyataan berhubung kes itu di media kepada anak guamnya.

"Sedangkan hakikatnya kes sebegini sering berlaku dan tidak pernah dibuat permohonan untuk perintah larangan membuat kenyataan," ujarnya.