MRT3 dijangka beroperasi sepenuhnya 2030

Ka Siong - Foto Bernama
Ka Siong - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keseluruhan jajaran bagi projek Laluan Lingkaran Transit Aliran Berkapasiti Tinggi 3 (MRT3) dijangka beroperasi sepenuhnya pada 2030, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Beliau berkata, projek itu dirancang untuk dimulakan tender pada tahun ini melalui lima pakej utama dalam tempoh enam hingga lapan tahun.

"Laluan ini dirancang untuk beroperasi secara berfasa, di mana fasa pertama akan dibuka seawal Disember 2028 tertakluk kepada proses pengambilan tanah,” katanya ketika menjawab soalan Hannah Yeoh (PH-Segambut) di Dewan Rakyat pada Selasa.

Hannah Yeoh ingin tahu status terkini pembangunan MRT3, cadangan jajaran dan anggaran jangka masa (timeline) lengkap yang diperlukan untuk setiap proses sehingga ia beroperasi.

Projek MRT3 yang diluluskan Jemaah Menteri pada 4 Mac lepas adalah laluan lingkaran yang meliputi perimeter luar bandar raya Kuala Lumpur dan sebahagian kawasan berpenduduk padat di kawasan Ampang Jaya, Selangor.

Ka Siong berkata, hasil kajian kebolehlaksanaan teknikal yang dijalankan, cadangan jajaran terkini bagi projek MRT3 adalah sebuah lingkaran sepanjang 51 kilometer (km) dengan 39km terletak di ibu negara dan 12km di Selangor.

Laluan lingkaran itu akan merentasi rangkaian rel sedia ada, termasuk laluan MRT1, MRT2, Transit Aliran Ringan (LRT), monorel dan KTM Komuter untuk membentuk 10 buah stesen pertukaran baharu supaya sistem rangkaian pengangkutan awam di Lembah Klang itu lebih menyeluruh,

"Sebanyak 80 peratus daripada keseluruhan jajaran ini merupakan laluan bertingkat manakala 20 peratus adalah laluan bawah tanah,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Ka Siong berkata, projek itu akan dibiayai secara hibrid yang melibatkan sumber-sumber pembiayaan seperti sukuk bersama jaminan kerajaan dan juga pembiayaan secara bayaran tertangguh.

Sementara itu Ka Siong berkata, kerajaan mungkin mempertimbangkan melihat semula struktur bayaran meletak kereta di dalam bandar setelah projek MRT3 itu siap kelak, termasuk melihat keperluan untuk mengenakan fi alam sekitar dan bayaran kesesakan kenderaan apabila sistem jaringan pengangkutan awam yang sudah lengkap diwujudkan.

Beliau berkata, demikian bagi menjawab soalan tambahan Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (PH-Lembah Pantai) yang ingin tahu adakah kerajaan berhasrat untuk mengenakan caj kesesakan kepada sesiapa yang ingin masuk ke Kuala Lumpur dengan adanya MRT3 di masa depan. - Bernama