Pelajar kolej rugi RM10,000 ditipu sindiket 'seks online'

Seorang pelajar lelaki sebuah kolej swasta rugi RM10,000 selepas diperdaya sindiket penipuan yang menawarkan khidmat seks secara dalam talian.
Seorang pelajar lelaki sebuah kolej swasta rugi RM10,000 selepas diperdaya sindiket penipuan yang menawarkan khidmat seks secara dalam talian.
A
A
A

MELAKA - Seorang pelajar lelaki sebuah kolej swasta berputih mata selepas wang simpanannya berjumlah RM10,000 lesap selepas diperdaya sindiket penipuan yang menawarkan khidmat seks secara dalam talian melalui laman sosial, Twitter.

Mangsa berusia 18 tahun dipercayai tertarik dengan tawaran perkhidmatan seks itu ketika melayari laman Twitter dan melihat satu tweet dari sebuah akaun pada Sabtu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan E Sundra Rajan berkata, mangsa telah menekan pautan yang diberikan dan kemudian berhubung dengan sindiket itu melalui aplikasi Telegram.

Menurutnya, sindiket itu menawarkan pakej perkhidmatan seks kepada mangsa dengan bayaran RM300 bagi tempoh dua jam dan memberi syarat bayaran perlu dibuat menerusi tambah nilai Razer Gold.

Beliau berkata, selepas membuat pembayaran mangsa diminta menunggu di hadapan sebuah kedai serbaneka di Batu Berendam pada hari sama kira-kira jam 1 petang.

"Bagaimanapun mangsa telah dihubungi seorang lelaki dan memintanya untuk membuat bayaran deposit tambahan sebagai cagaran bagi memastikan pelanggan perempuan itu tidak dicederakan oleh mangsa.

"Mangsa yang percaya telah membuat lima kali transaksi berjumlah keseluruhan RM10,000 ke dalam akaun yang diberikan sindiket itu," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Jelas beliau, namun selepas transaksi dilakukan mangsa tidak dihubungi mana-mana pelanggan perempuan pada petang itu dan menyedari dirinya ditipu sindiket tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa membuat laporan polis di Balai Bukit Baru dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.