Kerja alih batu kuari dihentikan, ada runtuhan kecil

Kerja-kerja mengalih batu kuari dihentikan susulan pihak bomba mengesan runtuhan kecil di lokasi kejadian di Simpang Pulai, pada Isnin. - Foto ihsan JBPM Perak
Kerja-kerja mengalih batu kuari dihentikan susulan pihak bomba mengesan runtuhan kecil di lokasi kejadian di Simpang Pulai, pada Isnin. - Foto ihsan JBPM Perak
A
A
A

IPOH - Operasi mencari dan menyelamat dua pekerja kuari yang terperangkap dalam runtuhan batu di Keramat Pulai, Jalan Simpang Pulai - Cameron Highlands sejak seminggu lalu dihentikan seketika pada Isnin.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak memaklumkan, kerja-kerja pengalihan batu yang dijalankan beberapa hari lalu dihentikan berikutan terdapat runtuhan kecil.

"Sekitar jam 10.35 pagi, pasukan mengesan berlaku runtuhan kecil menyebabkan kerja-kerja pengalihan batu dijalankan oleh syarikat kuari dihentikan.

"Pasukan Penyelamat bagaimanapun masih dalam skop kerja pemerhatian dan keselamatan di lokasi kejadian," katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.

Menurutnya, jarak laluan ke lokasi mangsa tertimbus berbaki 20 meter lagi.

Sinar Harian pada Sabtu melaporkan bongkah-bongkah batu seberat 200 tan dianggarkan sebesar bangunan tiga tingkat menjadi cabaran utama kepada pasukan bomba dalam operasi menyelamatkan mangsa terlibat.

Beberapa siri letupan dilakukan sejak Khamis bagi memecahkan batu tersebut.

Dalam kejadian sekitar jam 9.15 pagi pada Selasa lalu, dua mangsa yang tertimbus dikenal pasti sebagai Itam Lasoh, 43, dan Kheow Loo Siew Soon, 49.

Artikel Berkaitan:

Operasi yang masuk hari tujuh melibatkan pegawai dan anggota pelbagai agensi termasuk Pasukan Khas Taktikal Operasi dan Penyelamat Malaysia (STORM), Unit Anjing Pengesan (K9), Unit Dron JBPM dan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART).