Mane tidak minat tiru macam Ronaldo

Mane ketika membantu Senegal menjulang kejuaraan Piala Negara-Negara Afrika pada Januari lalu.
Mane ketika membantu Senegal menjulang kejuaraan Piala Negara-Negara Afrika pada Januari lalu.
A
A
A

BINTANG Liverpool, Sadio Mane menegaskan dia tidak berhasrat menjalani kehidupan seperti pemain Manchester United dan Portugal, Cristiano Ronaldo.

Bekas bintang Southampton itu juga mengakui gaya hidup bintang The Red Devils berusia 37 tahun tersebut tidak menarik minatnya.

"Tidak! Saya mengikuti mereka di media sosial dan itu sudah cukup untuk saya.

"Saya suka kehidupan mereka yang luar biasa, namun kehidupan itu tidak sesuai untuk saya.

“Saya selesa dengan kehidupan sekarang bagi seorang budak dari sebuah bandar kecil di Casamance. Sudah menjadi kemenangan besar untuk mengekalkan gaya hidup sederhana," kata Mane.

Untuk rekod, Ronaldo yang juga bintang Portugal itu merupakan selebriti sukan paling banyak diikuti dan tular di media sosial pada ketika ini.

Mane pula membuktikan dirinya sebagai antara pemain terbaik dunia selepas mengharungi beberapa musim yang luar biasa bersama Liverpool dan Senegal.

Selain menjadi tumpuan kepada perancangan Jurgen Klopp sejak beberapa musim lalu, dia juga antara watak penting membantu The Reds memenangi gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) buat pertama kalinya.

Artikel Berkaitan:

Malah pemain berusia 29 tahun itu juga antara nadi penting apabila Liverpool menjulang kejuaraan Liga Juara-Juara, kali keenam dalam sejarah penubuhan kelab sarat tradisi kejuaraan domestik Inggeris tersebut.

Mane bersama Senegal melangkah lebih baik tahun ini apabila mengetuai negara itu ke Piala Negara-Negara Afrika sekali gus buat kali pertama negara tersebut memenangi trofi berkenaan selepas menewaskan Mesir pada Januari lalu.