Arsenal, Liga Juara-Juara berpisah tiada

Mikel Arteta - Foto Eurosport
Mikel Arteta - Foto Eurosport
A
A
A

PENGENDALI Arsenal, Mikel Arteta menyifatkan The Gunners dan saingan Liga Juara-Juara berpisah tiada selepas kelab London mengekalkan status kelompok empat teratas saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

The Gunners mengekalkan status itu setelah menewaskan Leicester City 2-0 di Stadium Emirates sekali gus menyaksikan kelab tersebut mengatasi pencabar terdekat, Manchester United dengan kelebihan satu mata yang telah mengharungi 29 perlawanan - tiga aksi lebih berbanding Arsenal.

Dua jaringan Thomas Partey pada minit ke-11', diikuti penalti Alexandre Lacazette di minit ke-59' sudah cukup membolehkan Arsenal mengumpul 51 mata - lapan mata di belakang pasukan tempat ketiga Chelsea.

Malah menurut Arteta, Arsenal di landasan terbaik untuk kembali ke saingan Liga Juara-Juara buat pertama kali sejak musim 2016/17, sekiranya para pemainnya meneruskan momentum positif dalam mengharungi baki saingan liga,

Walaupun tidak menyertai Liga Juara-Juara selama lima musim dan tidak pernah memenangi kejuaraan berprestij kelab Eropah itu, Arteta berkata, aura Arsenal sebagai antara empat kelab terbaik Inggeris perlu diterjemahkan dengan menyaingi gergasi Eropah lain.

"Kami perlu dan sewajarnya berada di Liga Juara-Juara. Malah sejarah Arsenal mewajibkan kelab ini untuk berada di sana, namun kami belum berada di sana dan masih terdapat banyak perlawanan untuk dimainkan.

“Kami mempunyai kumpulan para pemain yang sangat luar biasa di kelab yang percaya dengan apa dilakukan dan kemudian menterjemahkan prestasi dalam bentuk keputusan.

"Ya, sejujurnya saya amat bangga dengan komitmen para pemain dalam beberapa bulan kebelakangan ini menyaksikan persembahan Arsenal lebih konsisten," kata Arteta.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun Arteta tetap mengingatkan para pemain Arsenal untuk tidak berada dalam zon selesa dengan momentum positif dipersembahkan kelab itu.

"Realiti dalam bola sepak adalah apabila anda mula meramalkan apa yang boleh berlaku tiada siapa yang akan melakukannya dengan betul

“Satu-satunya perkara yang kami boleh kawal ialah prestasi semasa setiap perlawanan.

"Kami berada dalam kedudukan yang baik tetapi masih banyak yang perlu diperjuangkan untuk kekal konsisten dalam saingan kompetitif ini," katanya.

Untuk rekod, Arsenal akan menentang Liverpool di Stadium Emirates awal pagi Khamis, dengan perlawanan itu merupakan ujian besar bagi sensasi London tersebut dalam mencabar status Liverpool kendalian Jurgen Klopp yang memenangi lapan perlawanan terakhir liga.