X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 20 Mei 2022

Wajibkan gaji minimum RM1,500 kepada sektor swasta: MTUC

Ringgit Gambar hiasan
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan perlu mewajibkan gaji minimum RM1,500 kepada syarikat swasta melalui perintah gaji minimum.

Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kamarul Baharin Mansor berkata, kerajaan seharusnya memahami keperluan mendesak bagi pekerja swasta seperti pekerja pembersihan, pengawal keselamatan dan pekerja ladang yang bergaji RM1,200.

Menurutnya, komitmen kerajaan yang menyatakan setiap pekerja tetap syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) menerima gaji sekurang-kurangnya RM1,500 sebulan turut perlu diperluaskan kepada syarikat swasta.

"MTUC berterima kasih kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) kerana mengesahkan bahawa gaji minimum yang sepatutnya bagi pekerja di Malaysia adalah RM 1,500 selaras dengan tuntutan MTUC.

"Jutaan pekerja yang berpendapatan rendah yang menunggu gaji minimum RM1,500 sangat teruja dengan pengumuman Perdana Menteri ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sedang rancak berjalan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

MTUC
MTUC

Beliau sehubungan itu menegaskan, pengumuman itu wajar dijadikan asas dan panduan kepada syarikat swasta bahawa sudah tiba masanya gaji minimum RM1,500 dilaksanakan atas alasan rakyat tertekan dengan kos sara hidup.

"Perdana Menteri seharusnya mewajibkan gaji minimum RM1,500 kepada sektor swasta melalui perintah gaji minimum dan bukannya hanya memberi nasihat kepada syarikat.

"Pengakuan Perdana Menteri bahawa pekerja yang mempunyai pendapatan rendah boleh dibantu dengan kenaikan gaji minimum RM1,500 adalah kenyataan yang benar," katanya.

Menurut Kamarul Baharin, kajian dan perbincangan telah selesai dijalankan melibatkan kerajaan, kesatuan sekerja serta persatuan majikan dan sepatutnya kerajaan boleh mewajibkan kadar yang baharu setelah kajian dikemukakan kepada kabinet.

Dalam masa sama, pihaknya turut mengesa supaya gaji minimum tidak dijadikan modal kempen politik oleh mana-mana parti kerana kadar baharu gaji minimum merupakan keperluan mendesak bagi pekerja.

"Sudah sampai masanya kabinet mengumumkan gaji minimum yang baharu seperti di dalam Akta Gaji Minimum yang memerlukan kerajaan mengkaji gaji minimum sekali dalam tempoh dua tahun," katanya.

Beliau berkata, MTUC masih lagi menunggu masa yang sesuai berjumpa dengan Perdana Menteri untuk berbincang mengenai kesusahan pekerja dalam mendepani kos sara hidup.

"Kewajaran gaji minimum RM1,500 adalah keutamaan MTUC dalam perbincangan itu nanti," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!