Perlu proses betul tambah kerusi Parlimen: Wan Junaidi

Wan Junaidi
Wan Junaidi
A
A
A

KUCHING - Cadangan menambah kerusi Parlimen serta persempadanan semula kawasan pilihan raya di negeri Sabah dan Sarawak harus dibuat melalui proses perundangan yang betul seperti terkandung dalam Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, berdasarkan Perkara 113 itu sebarang kajian semula persempadanan hanya boleh dilakukan dalam masa lapan tahun sekali.

"Review (kajian semula persempadanan) yang terakhir untuk Sarawak adalah pada 2015 dan Sabah pula pada 2017.

"Maknanya untuk Sarawak, jika nak lihat penambahan kerusi parlimen ia hanya akan berlaku selepas lapan tahun iaitu pada 2023. Satu kajian akan dibuat pada masa itu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri satu acara di Kampung Tanjung Bako di sini pada Ahad.

Mengulas lanjut, Wan Junaidi berkata, selepas tempoh lapan tahun itu, satu jawatankuasa akan melihat kepada keperluan persempadanan semula yang akan dipengerusikan oleh Ketua Menteri Sabah dan Premier Sarawak.

"Menerusi jawatankuasa ini mereka akan salurkan permohonan (persempadanan) kepada kerajaan pusat. Jika dipersetujui maka ia akan dilaksanakan mengikut proses,” katanya.

Sementara itu, mengenai keperluan melanjutkan tempoh Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani kerajaan dan pembangkang pada 13 Sept lepas, Wan Junaidi berkata, ia mempunyai kebaikan yang perlu diteruskan.

Menurutnya MoU yang berkuat kuasa hingga 31 Julai depan itu, telah berjaya membawa kepada beberapa pindaan Perlembagaan Persekutuan di Dewan Rakyat yang menguntungkan rakyat.

"(Selepas ini) Banyak lagi usul pindaan Perlembagaan Persekutuan yang akan kita (kerajaan) bentangkan di Dewan Rakyat seperti Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti dan mengehadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri.

Artikel Berkaitan:

"Jika kita tidak ada persefahaman ini untuk menyokong agenda kerajaan, memang sukar untuk kita luluskan pindaan Perlembagaan yang memerlukan undian dua pertiga sokongan ahli Dewan Rakyat,” tambahnya. - Bernama