Amanah terima dengan hati terbuka keputusan PRN Johor

Presiden Amanah, Mohamad Sabu - Foto Bernama
Presiden Amanah, Mohamad Sabu - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Amanah Negara (Amanah) yang bertanding atas tiket Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor terima dengan hati terbuka keputusan yang diumumkan pada Sabtu.

Presidennya, Mohamad Sabu berkata, terdapat dua faktor yang menyebabkan kekalahan parti tersebut, iaitu peratusan keluar mengundi yang begitu rendah dan juga perpecahan pembangkang.

“Bagi pihak Amanah yang bertanding di atas tiket PH, kita menerima keputusan PRN Johor yang telah berlalu semalam (Sabtu) dengan hati yang terbuka.

“Seperti yang dijangka lebih awal, faktor utama adalah peratusan keluar mengundi yang begitu rendah, terutama sekali di kalangan penduduk-penduduk bandar dari kalangan orang Tionghoa.

“Faktor ini menyebabkan kawasan-kawasan campuran yang menjadi tapak kekuatan PH, mengalami kekalahan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook miliknya pada Ahad.

Faktor kedua, beliau berkata, perpecahan pembangkang yang menjadi punca terbesar kekalahan tersebut.

Menurutnya, keputusan PRN Johor menunjukkan dengan jelas bahawa jumlah undi yang diperolehi pembangkang, melebihi 200,000 undi, jika dibandingkan dengan pihak Barisan Nasional (BN).

“Pada saya, keputusan ini menunjukkan bahawa, BN tidak menambah kekuatan mereka, sebaliknya mereka mendapat manfaat daripada perpecahan pembangkang yang begitu ketara.

Artikel Berkaitan:

“Jumlah undi sebanyak 200,000 tersebut, jika dibahagi kepada 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) secara purata, hampir 4,000 jumlah undi pembangkang mengatasi BN.

“Ini menjadi pengajaran kepada kita semua, bagaimana untuk kembali bertaut dan menyusun strategi bersama bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) tidak lama lagi,” katanya.

Ahli Parlimen Kota Raja itu turut memberi peringatan kepada semua pihak yang mana jika terus berpecah dalam menghadapi BN, hasilnya akan ‘memakan angin’ beramai-ramai selepas PRU15 nanti.

Pada Sabtu, BN mendapat kemenangan selesa melebihi majoriti dua pertiga apabila berjaya memperoleh 40 daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan pada PRN Johor ke-15.

Menerusi keputusan rasmi dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), PH berjaya memenangi 11 kerusi, yang mana satu daripadanya adalah milik Amanah.

Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub berjaya mempertahankan kerusi DUN Simpang Jeram apabila memperolehi 8,749 undi, mengalahkan calon Perikatan Nasional (PN), Zarul Salleh yang mendapat 6,350 undi.

Seorang lagi calon, Lokman Md Don dari BN memperolehi 6,062 undi.