PBM puas hati pencapaian dalam PRN Johor walaupun tewas

Haniza (kanan) dan Shiau Yoon mengadakan sidang media berkenaan keputusan PRN Johor di Ibu Pejabat PBM Johor, Johor Bahru pada malam Sabtu.
Haniza (kanan) dan Shiau Yoon mengadakan sidang media berkenaan keputusan PRN Johor di Ibu Pejabat PBM Johor, Johor Bahru pada malam Sabtu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Parti Bangsa Malaysia (PBM) berpuas hati dengan pencapaian mereka dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor walaupun gagal menang di semua empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi.

Pengarah Pilihan Raya PBM, Haniza Mohamed Talha berkata, ini kerana jumlah undi diterima parti tersebut dilihat sebagai satu petanda signifikan dalam usaha memperkenal PBM kepada masyarakat.

"Pencapaian kami dalam PRN Johor ini dilihat sebagai sesuatu yang baik. Ini adalah permulaan baik untuk parti baharu, kalau menang itu bonus buat kami.

"PBM memerlukan lebih banyak masa untuk diperkenalkan kepada pengundi. PBM bakal mengubah strategi dalam memperkenalkan calon kepada pengundi selain mendidik mereka untuk mengundi berdasarkan kapasiti individu, bukannya parti atau logo," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PBM Johor, di sini pada malam Sabtu.

Pada PRN Johor, PBM bertanding di empat kerusi dengan mempertaruhkan Steven Choong Shiau Yoon di kerusi DUN Puteri Wangsa, Muhammad Hanis Asmui Md Salleh (Maharani), Mohd Azmi Ali (Tiram) dan Muhammad Saiful Bahri Sahari (Stulang).

Mengulas lanjut, Haniza berkata, PBM akan membuat kajian terhadap corak pengundian di setiap negeri termasuk sama ada terdapat keperluan untuk parti itu bergabung dengan mana-mana gabungan politik.

"Di Johor, masyarakat mengundi berdasarkan logo dan parti, jadi selepas ini kita akan putuskan sama ada PBM akan bekerjasama dengan parti lain atau tidak, kajian itu perlu dilakukan," katanya.

Sementara itu, Shiau Yoon yang juga Ahli Parlimen Tebrau berkata, PRN Johor merupakan pengalaman baik buat parti itu dalam persediaan mereka menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15.

Artikel Berkaitan:

"Apa yang kami dapati adalah jentera kami tahu apa strategi kempen yang baik untuk PBM, jadi ini adalah perkara positif buat kami," katanya yang juga Naib Presiden PBM.