X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 02 Julai 2022

Tanah runtuh: Selangor cari kaedah tangani kawasan cerun berisiko

Amirudin ketika sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Projek Perumahan Ion Belian Garden pada Sabtu.
A
A

BATANG KALI - Kerajaan Selangor sedang dalam proses mencari kaedah terbaik dalam menangani kawasan cerun yang didapati berisiko tinggi menyebabkan tanah runtuh di negeri ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, perkara itu akan dibentangkan oleh Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pemodenan Pertanian Selangor, Izham Hashim termasuk mengemukakan jumlah cerun berisiko pada Jumaat.

Menurutnya, dapatan tersebut diperoleh daripada hasil kajian pihak terbabit berdasarkan beberapa peristiwa tanah runtuh yang berlaku sebelum ini.

"Sebelum ini kita dah bentangkan cara tangani banjir semasa pemukiman pada bulan lalu, selepas ini kita nak lihat pula bagaimana untuk tangani 150 titik panas kawasan berpotensi berlaku gelongsoran atau tanah runtuh.

"Saya percaya Izham ada rancangannya dan kita akan kemukakannya (langkah penyelesaian cerun berisiko tanah runtuh)," katanya ketika sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Projek Perumahan Ion Belian Garden, di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu, Amirudin turut memaklumkan pihaknya akan menyelesaikan agihan sumbangan kewangan sebanyak RM10,000 kepada empat waris keluarga mangsa yang terlibat dalam insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2 dalam tempoh seminggu.

Ujarnya, agihan bantuan kepada penduduk lain yang terjejas akan dibuat setelah pihaknya menerima laporan kajian oleh agensi berkaitan dalam tempoh maksimum lima hari.

"Kita akan utamakan waris keluarga yang meninggal dunia dulu, keluarga lain kita sedang anggarkan (bantuan) kerana fokus kita sekarang ialah untuk pastikan tempat itu selamat atau sebaliknya.

"Bab bantuan ini kita nanti dulu, kita selesaikan pemindahan dan tunggu laporan daripada pihak berkenaan dulu.

"Tapi yang paling jelas, untuk setiap waris keluarga yang kita dah pastikan meninggal dunia, kita akan berikan sebanyak RM10,000 dan kita akan buat segera dalam tempoh seminggu," katanya.

Pada Jumaat, kawasan tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2 di sini tidak termasuk dalam senarai lebih 150 cerun yang diklasifikasikan sebagai berisiko tinggi runtuh di Selangor.

Izham berkata, pihaknya tidak mengesan sebarang indikasi seperti rekahan atau pergerakan tanah di lokasi berkenaan.

“Majoriti lokasi cerun itu dikenal pasti sebagai kawasan berisiko dan didapati tidak stabil dan tidak selamat pada Disember lalu selepas banjir besar berlaku di Selangor," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!