Everton mahu menang berdepan Wolves

Pemain Everton diharap memberikan aksi terbaik berdepan Wolves. - Foto:Getty Images
Pemain Everton diharap memberikan aksi terbaik berdepan Wolves. - Foto:Getty Images
A
A
A

PENGENDALI Everton, Frank Lampard menyifatkan skuad kendaliannya itu tidak memiliki pilihan selain mencatatkan kemenangan ke atas Wolverhampton Wanderers pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), di Goodison Park pada Ahad.

Menurutnya, kemenangan tersebut penting kerana skuad The Toffees itu bakal berdepan Newcastle United di venue sama pada Khamis.

“Kita tidak ada pilihan kerana hanya dengan kemenangan akan membantu mengukuhkan kedudukan kita untuk keluar dari ‘zon bahaya’ ketika ini.

“Bagi saya, kedua-dua aksi dengan Wolves dan Newcastle ini dilihat penting untuk kita meraih mata.

“Oleh itu, dalam tempoh beberapa hari ini, pemain perlu memberikan fokus dan komitmen bagi memastikan kemenangan dalam kedua-dua aksi (berdepan Wolves dan Newcastle) berkenaan,” katanya.

Untuk rekod, Everton kini berada di kedudukan ke-17 carta liga dengan 22 mata setelah mengharungi 25 perlawanan.

Sementara itu, Lampard yang telah membantu Everton mencatatkan tiga kemenangan sejak mengendalikan kelab berkenaan menegaskan bahawa penyokong The Toffees bakal menyaksikan semangat melawan daripada skuad kendaliannya itu pada kedua-dua perlawanan berkenaan.

Malah katanya, kesemua pemain juga dilihat telah bersedia untuk beraksi dan melakar kemenangan.

Artikel Berkaitan:

“Penyokong akan menyaksikannya (semangat melawan) menerusi cara kami beraksi pada Ahad.

“Apa pun, saya tetap optimis dan yakin dengan kemampuan pemain. Saya juga mempunyai kepercayaan terhadap mereka dan ia akan dapat diterjemahkan menerusi keputusan perlawanan nanti,” jelasnya.