Jumlah mangsa banjir di Selangor, Johor, Melaka menurun

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jumlah mangsa banjir di Johor, Melaka dan Selangor yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) menurun kepada 254 orang daripada 65 keluarga petang ini berbanding 284 orang daripada 73 keluarga pada pagi Jumaat.

Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dalam laporan terkini pada 4 petang Jumaat memaklumkan PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Linau, Kluang, Johor yang menempatkan 14 individu daripada empat keluarga pada pagi tadi, ditutup petang Jumaat.

Ia mula beroperasi pada 9 Mac lepas.

Di Melaka, hanya satu PPS dibuka pada 8 Mac lepas di daerah Jasin, iaitu di SK Parit Penghulu yang kini menempatkan 33 mangsa daripada tujuh keluarga setakat petang Jumaat.

Sementara itu di Selangor, jumlah mangsa di daerah Kuala Langat dan Sepang menunjukkan penurunan apabila PPS Dewan Orang Ramai Kampung Bukit Changgang, Kuala Langat petang Jumaat menempatkan 52 mangsa daripada 14 keluarga berbanding 61 mangsa daripada 16 keluarga pagi Jumaat.

Selain itu PPS SK Kota Warisan, Sepang pula menempatkan 122 mangsa daripada 32 keluarga berbanding 129 mangsa daripada 34 keluarga pagi Jumaat manakala jumlah mangsa di tiga PPS lain yang beroperasi di negeri itu tidak berubah sejak pagi Jumaat.

Tiga PPS berkenaan adalah Balai Raya Kampung Orang Asli Bukit Serdang, Balai Raya Kampung Orang Asli Bukit Tadom dan Sekolah RTB Bukit Changgang. - Bernama

Artikel Berkaitan: