Banjir Terengganu: 113 menara telekomunikasi, 24 PEDi terjejas

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA TERENGGANU - [DIKEMAS KINI] Sebanyak 113 menara telekomunikasi dan 24 Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) di Terengganu terjejas akibat banjir baru-baru ini.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri Dr Mamad Puteh berkata, syarikat telekomunikasi yang terlibat telah mempercepat kerja-kerja membaik pulih semua menara dan PEDi terjejas agar ia boleh beroperasi seperti biasa selepas bekalan elektrik kembali pulih.

"Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) memaklumkan terdapat peralatan telekomunikasi telah ditenggelami air meskipun platform di dua menara yang menempatkan peralatan tersebut pernah ditinggikan sebelum ini.

"MCMC Terengganu telah menyarankan agar syarikat telekomunikasi yang terlibat mengkaji semula tahap ketinggian platform peralatan yang tenggelam di menara komunikasi yang terjejas," menurutnya dalam kenyataan pada Jumaat.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur Telekomunikasi Negeri Terengganu itu juga berkata kerjasama baik antara MCMC Terengganu dengan syarikat telekomunikasi dalam mengemas kini dan menyediakan laporan membolehkan penyediaan maklumat secara lebih konsisten pada masa akan datang.

"Saya percaya tindakan proaktif yang sama akan memudahkan proses menyalurkan maklumat terkini kepada rakyat Terengganu untuk berwaspada ketika menghadapi situasi banjir.

"Perkara ini juga penting dalam memastikan pelaksanaan projek Jalinan Digital Negara (Jendela) di negeri Terengganu berjalan dengan lancar," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: