Sze Fei-Nur Izzuddin rebut slot suku akhir Terbuka Jerman

Goh Sze Fei-Nur Izzuddin
Goh Sze Fei-Nur Izzuddin
A
A
A

KESILAPAN mudah dilakukan pihak lawan, Joel Eipe-Daniel Lundgaard memudahkan perjalanan beregu lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani merebut tempat ke suku akhir pada Terbuka Jerman 2022 dalam aksi pusingan kedua pada Khamis.

Bukan itu sahaja, Nur Izzuddin turut mengakui gembira dengan aksi menyerang yang dipamerkan dari awal permainan akhirnya membuahkan hasil apabila pasangan Denmark itu memberikan mata percuma kepada Malaysia selepas melakukan pelbagai kesilapan dalam perlawanan pusingan kedua yang berlangsung di Westenergie Sporthalle di Muelheim An Der Ruhr.

"Kami terus menyerang dan memberi tekanan dari mula perlawanan yang mendorong mereka melakukan banyak kesilapan mudah dan menjadikan strategi perlawanan kami berjaya,” katanya dalam video pendek yang dikongsikan kepada media pada Jumaat.

Sze Fei-Nur Izzuddin yang merupakan ranking ke-17 dunia mengambil masa 32 minit bagi menyingkirkan Joel-Daniel, 21-13, 21-14.

Bagaimanapun, pasangan bukan pilihan itu bakal berdepan laluan getir apabila dijadual menentang rakan senegara yang juga pasangan pilihan keenam, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi pada Jumaat.

Sementara itu, Yew Sin-Ee Yi terpaksa berhempas pulas untuk menempah tiket ke suku akhir pada Khamis apabila diheret hingga ke set penentuan sebelum menang ke atas pasangan dari England, Ben Lane-Sean Vendy, 21-15, 14-21, 21-17.

Mengulas mengenai perlawanan pada Jumaat, Nur Izzudin berharap mereka sudah bersedia dari segi mental dan fizikal untuk bertarung merebut tempat ke separuh akhir yang akan berlangsung pada Sabtu.

Dalam pada itu, dua lagi wakil Malaysia iaitu beregu campuran, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan beregu wanita, Vivian Hoo-Lim Chiew Sie juga berjaya melangkah ke suku akhir.

Artikel Berkaitan:

Kian Meng-Pei Jing menumpaskan Gregory Mairs-Jenny Moore dari England, 21-16, 10-21, 21-18, untuk berdepan dengan pilihan pertama, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai selepas gandingan Thailand itu menundukkan beregu tuan rumah, Jones Ralfy Jansen-Linda Efler, 21-10, 21-15.

Vivian-Chiew Sen pula menewaskan pasangan dari Scotland, Julie Macpherson-Ciara Torrance, 21-14, 19-21, 21-16.

Mereka bakal berdepan pilihan pertama Chen Qing Chen-Jia Yi Fan bagi penentuan empat tempat terakhir, selepas pasangan China itu menang straight set ke atas Treesa Jolly-Gayatri Gopichand Pullela dari India, 21-16, 21-12.