20 kucing mati: Ganjaran RM2,000 kepada pemberi maklumat

Laporan Sinar Harian 7 Mac lalu.
Laporan Sinar Harian 7 Mac lalu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Ganjaran sebanyak RM2,000 ditawarkan kepada mana-mana pihak atau individu yang dapat menyalurkan maklumat mengenai kejadian 20 ekor kucing mati disyaki diracun di Bukit Keluang, Besut pada 6 Mac lalu.

Tawaran tersebut diberikan Persatuan Haiwan Malaysia dan Persatuan Kebajikan Kota Putera (Putera) bagi membolehkan pelaku atau pihak yang bertindak kejam itu dapat ditangkap serta dikenakan tindakan undang-undang.

Pengerusi Hal Ehwal Haiwan Putera, Hazli Abdullah berkata, kematian 20 ekor kucing di kawasan peranginan tersebut kali pertama dilaporkan berlaku di Terengganu dan ia merupakan perbuatan kejam yang mengejutkan.

“Daripada jumlah itu, tiga ekor kucing ada kolar pada leher menunjukkan ia mempunyai tuan dan bukan kucing biasa yang ada di situ. Kami mempunyai ahli yang biasa beri makan kepada kucing-kucing di sana jadi kami tahu.

“Kami percaya ia dibunuh di tempat lain dan dibuang di situ, oleh itu saya berharap individu yang ada kehilangan kucing dapat hubungi kami atau buat laporan polis,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Menurut beliau yang juga wakil Persatuan Haiwan Malaysia Terengganu, semua maklumat itu penting untuk membantu polis mengesan dan menangkap pihak yang terlibat.

“Polis masih menyiasat kes ini dan pihak veterinar juga dalam peringkat akhir bedah siasat. Saya harap pihak yang ada sebarang maklumat tentang kejadian ini dapat tampil membantu dan maklumat tentang mereka adalah rahsia,” katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan polis menyiasat insiden 20 ekor kucing mati dipercayai diracun dalam kejadian di kawasan peranginan sekitar Pantai Bukit Keluang di Besut.

Artikel Berkaitan:

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 428 Kanun Keseksaan (khianat ke atas binatang) yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Siasatan awal mendapati terdapat beberapa ekor kucing mati di sekitar pantai tersebut yang mana dua daripadanya mati berdekatan pesisiran pantai manakala 13 ekor lagi mati di atas tanah berdekatan pokok.

Kematian kucing-kucing itu dipercayai berpunca daripada perbuatan khianat oleh individu atau kumpulan tidak bertanggungjawab.