Runtuhan kuari: Pengalihan bongkah batu diteruskan

Kerja-kerja mengalih bongkah batu sedang dilakukan di lokasi kejadian di Keramat Pulai, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands, di sini pada Jumaat. - Foto JBPM Perak
Kerja-kerja mengalih bongkah batu sedang dilakukan di lokasi kejadian di Keramat Pulai, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands, di sini pada Jumaat. - Foto JBPM Perak
A
A
A

IPOH - Pasukan penyelamat meneruskan kerja-kerja pengalihan bongkah-bongkah batu pada hari keempat operasi mencari dan menyelamat dua mangsa yang tertimbus dalam runtuhan kuari di Keramat Pulai, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands di sini pada Jumaat.

Timbalan Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Aidil Adlee Che Mee berkata, operasi bermula jam 9 pagi itu dilakukan dengan kekuatan 63 anggota terdiri dari pihak JBPM, polis, Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), pegawai Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) serta pelbagai agensi.

Menurutnya, usaha pencarian akan dilakukan secara berterusan berikutan cuaca yang baik dan tiada tanda-tanda gelongsoran batu-batu dari struktur bukit.

"Operasi hari ini masih tertumpu dalam excavation atau mengalihkan bongkah-bongkah batu besar dengan menitik beratkan faktor keselamatan risiko batu gelongsor dan faktor cuaca.

"Sekiranya operasi berjalan lancar, pasukan bomba akan mengaturgerak Unit Anjing Pengesan (K9) bagi mengesan atau mengenalpasti lokasi tepat mangsa yang terperangkap," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Aidil Adlee berkata, pemantauan operasi dibuat Pasukan Khas Taktikal Operasi Menyelamat Malaysia (STORM) dan SMART dengan dibantu jentera berat.

Anggota penyelamat mendengar taklimat operasi sebelum meneruskan usaha mencari dan menyelamat pada hari keempat di lokasi kejadian di Keramat Pulai, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands, di sini pada Jumaat. - Foto JBPM Perak
Anggota penyelamat mendengar taklimat operasi sebelum meneruskan usaha mencari dan menyelamat pada hari keempat di lokasi kejadian di Keramat Pulai, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands, di sini pada Jumaat. - Foto JBPM Perak

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, pasukan tersebut akan melakukan kerja-kerja mencari dan mengeluarkan mangsa sekiranya lokasi sebenar berjaya dikenal pasti.

Pada Khamis, operasi mencari dan menyelamat mangsa terpaksa ditangguhkan sementara disebabkan berlaku runtuhan kecil serta pergerakan tanah susulan hujan lebat.

Usaha mengalihkan bongkah-bongkah batu itu dilakukan pada jam 4 petang selepas keadaan dipastikan selamat oleh pihak JMG.

Pada Selasa, seorang lelaki Orang Asli antara dua mangsa yang dikhuatiri tertimbus dalam runtuhan batu kuari di Keramat Pulai, Simpang Pulai di sini.

Operasi mencari dan menyelamat mangsa, Itam Bah Lasoh, 43, manakala seorang lagi, Kheow Loo Siew Soon, 49 sedang dilakukan oleh anggota penyelamat.

Kedua-dua mangsa dipercayai pemandu jengkaut di lokasi kejadian manakala dua lagi pekerja yang terselamat tetapi mengalami kecederaan masing-masing berusia 35 dan 38 tahun.