Janji siapkan sekolah terbengkalai bukan 'gula-gula' pilihan raya

Mohamad ketika ditemui pemberita pada Jumaat selepas meluangkan masa kira-kira 20 minit meninjau keadaan SMK Suria Jaya, Parit Yaani yang telah terbengkalai sejak tujuh tahun yang lalu.
Mohamad ketika ditemui pemberita pada Jumaat selepas meluangkan masa kira-kira 20 minit meninjau keadaan SMK Suria Jaya, Parit Yaani yang telah terbengkalai sejak tujuh tahun yang lalu.
A
A
A

BATU PAHAT - Janji untuk menyiapkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Suria Jaya, Parit Yaani yang telah terbengkalai sejak tujuh tahun bukan merupakan 'gula-gula' pilihan raya.

Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Mohamad Alamin menegaskan, ini kerana sekolah yang terbengkalai pembinaannya itu merupakan isu rakyat.

“Bukan hanya apabila tibanya Pilihan Raya Negeri (PRN) dan saya sendiri kalau anda lihat, saya akan turun sepanjang masa ke seluruh negara untuk melihat sendiri permasalahan sekolah-sekolah atau institusi di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Banyak isu kita akan turun dan lihat sendiri kerana ini adalah salah satu masalah rakyat yang sudah begitu lama. Jadi saya turun, bukan gula-gula pilihan raya tetapi tanggungjawab kita,” katanya pada Jumaat.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meluangkan masa kira-kira 20 minit meninjau keadaan SMK Suria Jaya yang telah terbengkalai sejak tujuh tahun yang lalu.

Jelas Mohamad, SMK Suria Jaya telah hampir 97 peratus siap pembinaannya dan hanya tinggal tiga peratus sahaja.

Disebabkan itu, beliau menyasarkan sekolah itu akan dapat beroperasi pada tahun ini.

“Saya agak sedikit terkilan dan kecewa kenapa ini boleh berlaku. Kita minta nanti kepada pegawai yang terlibat supaya melihat perkara ini sebagai istimewa.

Artikel Berkaitan:

“Cari jalan yang istimewa dan kita mahu ia dapat diselesaikan secepat mungkin,” katanya sambil menambah sekolah tersebut dikategorikan sebagai projek sakit.

Mohamad dalam masa yang sama turut menyatakan kontraktor asal projek sekolah itu telah ditamatkan perkhidmatannya pada Disember 2020.

“Kita difahamkan kontraktor ini mempunyai masalah dari segi prestasi yang tidak begitu memuaskan. Oleh sebab itu terlalu banyak kelewatan dan kita ambil keputusan menamatkan kontrak.

“Lagi lama masalah ini berlarutan lagi banyak masalah yang akan timbul. Bayangkan pada hari ini banyak kecacatan telah kita kenal pasti.

“Jadi kita tak nak berlaku secara berpanjangan. Insya-ALLAH saya akan berbincang dengan KPM, Ketua Setiausaha dan Timbalan Ketua Setiausaha Pembangunan untuk mencari jalan bagaimana nak mempercepatkan (pembinaan sekolah),” katanya.


Ikuti perkembangan semasa #PRNJohor dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my