Kerajaan teliti semua cadangan diutarakan dalam EAC

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi di Bangunan Perdana Putra hari ini. - Foto Bernama
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi di Bangunan Perdana Putra hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan akan meneliti semua cadangan yang telah diutarakan semua Ahli Majlis dalam mesyuarat pertama Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) dan cadangan yang dipersetujui akan dilaksanakan segera.

Menerusi satu kenyataan dari Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, sebanyak tiga kertas perbincangan telah dibentangkan dalam mesyuarat tersebut oleh wakil dari Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Menurut kenyataan itu, antara perkara diketengahkan adalah pendekatan menyeluruh dalam isu kos sara hidup, keusahawanan sosial sebagai platform meningkatkan taraf hidup isi rumah B40 dan pelaksanaan keputusan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL).

“Mesyuarat hari ini telah mendapatkan cadangan dan maklum balas daripada Ahli-ahli Majlis untuk menangani isu kos sara hidup, meningkatkan produktiviti dan kuasa beli rakyat serta menambahbaik taraf hidup isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40).

“Kerajaan pimpinan PH terus peka terhadap kesulitan hidup golongan B40 dan mengambil langkah segera untuk merancakkan dan merangsang pertumbuhan ekonomi yang mampan, pengagihan kekayaan yang saksama dan seterusnya meningkatkan kesejahteraan rakyat,” menurut kenyataan itu.

Petang tadi, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mempengerusikan mesyuarat pertama EAC di Perdana Putra, di sini.

Majlis itu dianggotai 16 anggota termasuk Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Azmin Ali; Menteri Kewangan Lim Guan Eng; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ignatius Darell Leiking; Menteri Kerja Raya Baru Bian; Penasihat Ekonomi Perdana Menteri Dr Muhammed Abdul Khalid; bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Rafidah Aziz dan Pengerusi Permodalan Nasional Bhd (PNB) Tan Sri Zeti Akhtar Aziz.

Anggota majlis lain ialah Ahli Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) Prof Dr Jomo Kwame Sundaram; Pengarah Urusan Public Bank Tan Sri Tay Ah Lek; Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Dr Hasnita Hashim; Pengerusi Bursa Malaysia, Datuk Shireen Ann Zaharah Muhiudeen; Pengerusi Asean Business Advisory Council Malaysia, Tan Sri Dr Mohd Munir Abdul Majid; Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk Dr Paul Selvaraj; Peguam Bah Tony @ Amani William Hunt Abdullah dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah, Institut Masa Depan Malaysia (MASA), Nizam Mahshar.

Artikel Berkaitan: