Penduduk Ukraine bergaduh untuk dapatkan makanan

Tangkap layar menunjukkan suasana selepas sebuah kawasan penduduk dibedil tentera Rusia di Mariupol baru-baru ini. - Foto Twitter/Reuters/AyBurlachenko
Tangkap layar menunjukkan suasana selepas sebuah kawasan penduduk dibedil tentera Rusia di Mariupol baru-baru ini. - Foto Twitter/Reuters/AyBurlachenko
A
A
A

KIEV - Sebahagian penduduk di bandar Mariupol saling bergaduh ketika mahu mendapatkan makanan semasa tentera Rusia mengepung bandar tersebut di Ukraine, kata Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) pada Khamis.

"Penduduk mula saling menyerang sesama mereka untuk mendapatkan makanan. Orang ramai mula merosakkan kereta untuk mendapatkan petrol," kata wakil ICRC itu yang berpangkalan di Mariupol, Sasha Volkov dalam satu rakaman audio.

"Ramai yang tidak mempunyai bekalan air. Semua kedai dan farmasi dijarah empat hingga lima hari yang lalu.

"Sejumlah orang masih mempunyai makanan tetapi saya tidak pasti berapa lama ia akan bertahan. Ramai orang melaporkan tidak mempunyai makanan untuk kanak-kanak," ujarnya.

Percubaan untuk memindahkan orang awam dari bandar tersebut telah menemui kegagalan dengan Ukraine dan Rusia saling tuduh-menuduh melanggar gencatan senjata yang dipersetujui.

Volkov menyatakan penduduk Mariupol memperoleh bekalan sayur-sayuran tetapi bukan daging di pasaran gelap manakala bekalan perubatan jarang diperoleh.

Penduduk di bandar itu dilaporkan tidak mendapat bekalan air, elektrik lebih seminggu ketika tentera Rusia melakukan pengeboman selepas melancarkan serangan di negara berkenaan pada 24 Februari lalu. - Agensi

Artikel Berkaitan: